Welcom to BaONG Blog
JellyMuffin.com - The place for profile layouts, flash generators, glitter graphics, backgrounds and codes

Saturday, April 3, 2010

Apabila Ulama Disifat Bagaikan Anjing

** Artikel lama, dicadangkan untuk pembacaan.
Ibn Taimiyyah (661-728H) atau dikenali dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah merupakan cahaya indah yang menghiasi sejarah para ulama gemilang. Beliau ilmuwan terbilang yang tiada tolok bandingnya, lagi pejuang yang berperang menentang menaklukan Tatar ke atas wilayah Islam. Berjihad dengan pena, suara dan pedang.
Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.
Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”
Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.
Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orangramai!”.
Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.
Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.
Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.
Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.
Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”. Jawab: “Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Saya memetik cerita ini bagi menggambarkan kadang-kala betapa ramai mereka yang memakai gelaran agama seperti ulama, syeikh, mufti dan seumpamanya yang mementingkan jubahnya agar tidak kotor atau tercemar lebih daripada mementingkan tanggungjawab mereka sebagai ilmuwan Islam untuk menegakkan kebenaran kerana Allah.
Jika Ibn Taimiyyah tidak makan kerana mengenangkan nilai makanan yang dijamu, sementara ramai ulama lain yang ‘sebat semacam’ dalam kegawatan pertarungan yang seperti itu, apakah ulama di zaman keresahan rakyat miskin kini disebabkan kenaikan harga barang, akan mencontohi sikap Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, atau akan tiru macam ulama-ulama dalam majlis Qazan itu lalu mereka juga akan ‘sebat semacam’ jamuan mewah yang melampaui batas yang patut menggunakan harta rakyat.
Saya menulis tajuk ini bertujuan untuk mengingatkan diri sendiri, bukan untuk orang lain. Ia boleh dibaca sebagai iktibar.
Hari ini mungkin sesetengah ulama sudah tidak bimbang jubah putih mereka tercemar lagi, kerana mereka memiliki koleksi pakaian yang cukup banyak hasil dari kemewahan memakai gelaran rasmi agama. Sehingga ada yang jumlah gajinya mengejutkan parlimen dan rakyat.
Namun di zaman moden ini, mereka mungkin bimbang habuan yang dijanji tidak diberi, kontrak mereka tidak disambung, atau pangkat mereka tidak dinaikkan, atau bisnes yang mereka menjadi ‘duta produk’ atau juru larisnya terjejas, atau perlantikan mereka di institusi-institusi yang menghasilkan elaun bulanan itu terganggu.
Atau ada pula yang menjaga kepentingan parti mereka melebihi daripada membela kebenaran dan fakta. Sehingga ada yang sanggup mengubah-ubah fatwa, hanya kerana partinya sudah berubah. Lalu mereka akan menjauhkan diri dari sesiapa yang cuba mengikuti semangat Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah.
Kalau pada zaman Ibn Taimiyyah, untuk mengelakkan mereka terpaksa berjuang bersama Ibn Taimiyyah dan rakyat menentang penjajahan Tatar, para ulama berkepentingan tersebut menulis atau menyebarkan fitnah untuk memburukkan Ibn Taimiyyah. Tujuannya, untuk menutup kelemahan diri dan menjaga kepentingan sendiri. Sebelum dan selepas zaman Ibn Taimiyyah pun, gelagat ulama jenis ini tetap sama.
Apabila ulama mengutamakan kepentingan sendiri, maka umat akan kehilangan garis panduan terutama pada waktu gawat dan getir. Pandangan dan pendapat yang benar disembunyikan sedangkan umat kehausan bimbingan. Jika diberikan pandangan pun hanya tajuk-tajuk yang dipersetujui oleh panaja.
Kadang-kala kita rasa tidak padan tajuk yang dicakapkan dengan jawatan yang dipegang. Maka amatlah buruk golongan yang menamakan diri mereka ulama jika hanya kelihatan ketika majlis-majlis rasmi untuk hadir hanya sebagai pembaca doa semata. Lebih menyedihkan lagi, dalam doa itu ‘ada udang di sebalik mee’, untuk dimakan sendiri. Sehingga kita yang mendengar pun terasa seram sejuk dengan pujian kepada pihak tertentu yang ‘lebih daripada yang patut’.
Atau golongan ini hanya kelihatan dalam majlis jamuan rasmi untuk memenuhi kerusi VIP yang dikhaskan untuk mereka. Hanya mampu makan jamuan yang diambil daripada peruntukan rakyat, namun tidak mampu bersuara jujur membela rakyat. Ada pula ulama-ulama rasmi yang minatnya adalah lawatan atas nama jawatannya ke sana-sini. Kononnya, untuk mengiringi orang itu dan ini.
Mereka kelihatan sibuk, namun umat tidak pula tahu apakah hasil dan sumbangan mereka untuk kepentingan rakyat. Apa yang disibukkan itu? Apakah kesibukan itu bersesuaian dengan peranan mereka yang sepatutnya? Atau sekadar sibuk menjadi pengiring atau sebagai panel memenuhi kerusi jamuan?. Atau sibuk untuk harta dan pangkat sendiri.
Ulama jenis ini, tidak mereka berjuang dengan suara, tidak juga dengan pena. Tentu jauh sekali dengan darah dan airmata. Walaupun pena atau komputer mereka mungkin berjenama mahal, tetapi kita tidak tahu apa yang mereka tulis dan sumbangkan untuk umat. Suara mereka tentu lebih mahal. Bak kata perpatah ‘suara emas’, sebab itu ia amat sukar untuk dikeluarkan walaupun keadaan amat memerlukan.
Bicara mereka bicara ‘ranggi’. Cerita mereka tentang kereta baru, perabut baru, lawatan keluar negara, lantikan baru, anugerah gelaran tambahan dan yang sewaktu dengannya. Wajah mereka berseri-seri jika bergambar di samping orang besar atau ‘pak menteri’.
Malangnya, sebahagian wajah yang berseri-seri itu tidak mampu untuk hadir mengajar atau memberikan pandangan untuk kepentingan orang awam. Kalau pun diberi, pandangan yang amat tidak berkualiti, atau dalam perkara yang kurang diperlukan. Mereka mungkin berfatwa tentang ‘haram kanak-kanak bermain mercun’ pada musim hari raya. Kerana itu kata mereka ‘pembaziran’.
Tetapi tidaklah pula mereka berfatwa tentang bunga api yang dibakar di sambutan-sambutan rasmi yang memakan belanja puluhan bahkan mungkin ratusan ribu. Padahal pembazirannya lebih jelas dan wangnya adalah wang orangramai.
Maka tidak hairanlah jika ada yang berjawatan tinggi dalam agama, tetapi tidak dikenali oleh rakyatnya. Jika dikenali pun, tidak pula diketahui apakah peranannya dalam membela kemaslahatan umat yang menjadi tuntutan agama?
Ulama yang seperti inilah yang menjual fatwa untuk kepentingan kedudukan, pangkat dan harta. Umat akan keliru, bahkan mungkin akan tersesat. Justeru, janganlah hairan jika al-Quran tidak pernah mensifatkan mana-mana golongan seperti anjing melainkan golongan ulama yang menjual agamanya untuk mendapatkan habuan dunia.
Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. (Surah al-A’raf: ayat 175-176).
Ayat ini menceritakan perihal kisah seorang ilmuwan agama yang meninggalkan ajaran Allah semata-mata kerana keinginannya kepada dunia. Riwayat-riwayat Israiliyyat yang tidak sahih menyebut nama orang tersebut ialah Bal’am. Kita tidak menerima periwayatan tanpa sokongan yang seperti itu.
Apa yang penting, ayat ini telah menyamakan ulama yang menjual nilai ajaran Allah hanya untuk kepentingan dunianya sama seperti anjing. Padahal jika dia berpegang atas prinsip ilmu dia tetap akan mendapat kemuliaan. Namun, dia gopoh dengan silauan tawaran dunia. Samalah dia seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah. Anjing menjelirkan lidah disebabkan kepanasan badannya, atau oksigen yang tidak cukup bagi tubuhnya. Demikian ilmuwan yang sentiasa kepanasan kerana gilakan dunia, atau sentiasa merasa tidak memadai dengan kedudukan mulianya sebagai ilmuwan, lalu dia menjelirkan lidahnya yang hodoh mencari yang lain habuan yang lain.
Maka Allah menjanjikan bagi ulama yang menyembunyikan kebenaran balasan yang dahsyat. Allah berfirman: (maksudnya) “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).
Bagi ulama yang telah menyembunyikan kebenaran dan menyelewengkan fakta yang sebenar tiada jalan untuknya mendapat keampunan melainkan taubat dan menerangkan semula kebenaran yang disembunyikan atau fakta yang diselewengkan.
Firman Allah (maksudnya): “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).
Ya! ulama itu bukan malaikat atau nabi yang maksum. Mereka seperti insan lain yang terdedah kepada salah dan dosa. Namun walau apapun keadaannya, mereka tidak boleh menyelewengkan fakta, atau menyembunyikan kebenaran sehingga mengelirukan manusia tentang hakikat ajaran Allah S.W.T.
Mereka juga boleh menjaga kaya dan berharta, tetapi tanpa menggadaikan kebenaran. Ini kerana yang menyebabkan mereka itu dianggap ulama kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu berfungsi untuk kemaslahatan manusia. Jika seseorang memakai pakaian ulama, atau menduduki jawatan ulama, atau memakai gelaran ulama tetapi dia kontang ilmu, dia sebenarnya bukan ulama walaupun diletakkan berbagai gelaran dan bintang.
Perkataan ulama itu berkait dengan ilmu dan peranan mereka menyampai dan menyatakan kebenaran. Bukan kerja ulama menjadi pembela setia sesebuah kerajaan ataupun parti atau individu. Ulama membela kebenaran ajaran Allah dan RasulNya. Tiada kompromi dalam soal kebenaran, keadilan dan fakta sekalipun terpaksa menghadapi teman yang rapat, atau pihak berjasa lagi dikasihi.
Sebab itu, seseorang apabila ingin menjadi penuntut ilmu-ilmu Islam, wajib baginya membetulkan niatnya. Jangan dia, atau ibubapa yang menghantarnya berfikir tujuan mempelajari ilmu-ilmu Islam untuk mendapatkan jawatan, atau menjadi penceramah yang lumayan, atau kerana ruang pekerjaan dalam bidang agama luas, atau melariskan bisnes.
Jika itu berlaku dari awal, maka lahirlah ulama-ulama ‘kakak tua’ yang akan memperkatakan apa yang digemari oleh orangramai, atau apa yang diminati di pasaran, atau apa yang dibayar dengan harga yang tinggi oleh pihak tertentu. Maka Nabi s.a.w mengingatkan: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dicari keredhaan Allah Azza wa Jalla dengannya, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Salihin).
Menjadi mat rempit, atau perompak, atau pemimpin yang tidak jujur tidak lebih buruk daripada ulama yang menyembunyikan kebenaran atau menyelewengkan fakta sehingga manusia tersesat. Kita memerlukan ilmuwan seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a., bukan ulama yang menjaga jubah dari percikan darah pengorbanan dan kebenaran.

Perkara Besar Sedang Menanti

Daripada Jabir Bin Abdullah r.a berkata: Saya pernah dengar Rasulullah S.A.W bersabda :
Sesungguhnya anak Adam itu sentiasa dalam lalai tentang apa yang dijadikan Allah baginya. Sesungguhnya ketika ia dicipta oleh Tuhan, berkata Tuhan kepada Malaikat : Catitkanlah rezekinya! Catitkanlah jalan hidupnya! Catitkanlah ajalnya! Catitkanlah sama ada kesudahannya celaka atau bahagia! Sesudah menjalankan tugas, Malaikat itu pun kembali.
Kemudian ditugaskan dua Malaikat pula untuk menuliskan semua kebajikan dan kejahatan orang itu seumur hidupnya. Apabila ia menemui ajalnya (mati) kedua Malaikat tadi pun berangkat kembali....
.............................................................................................................................................
Daripada Jabir Bin Abdullah r.a berkata: Saya pernah dengar Rasulullah S.A.W bersabda :
Sesungguhnya anak Adam itu sentiasa dalam lalai tentang apa yang dijadikan Allah baginya. Sesungguhnya ketika ia dicipta oleh Tuhan, berkata Tuhan kepada Malaikat : Catitkanlah rezekinya! Catitkanlah jalan hidupnya! Catitkanlah ajalnya! Catitkanlah sama ada kesudahannya celaka atau bahagia! Sesudah menjalankan tugas, Malaikat itu pun kembali.
Kemudian ditugaskan dua Malaikat pula untuk menuliskan semua kebajikan dan kejahatan orang itu seumur hidupnya. Apabila ia menemui ajalnya (mati) kedua Malaikat tadi pun berangkat kembali.
Lalu ditugaskan oleh Allah Malakul-maut (Izrail) untuk mengambil nyawanya. Setelah selesai dikuburkan, rohnya dikembalikan ke jasad. Ketika itu tibalah dua Malaikat lain (Munkar dan Nakir) untuk menyoalnya. Setelah selesai disoal, keduanya pun kembalilah.
Apabila tiba saat (Hari Kiamat) masing-masing Malaikat yang menulis kebajikan dan yang menulis kejahatan itu turun semula dengan sebuah buku catitan, lalu buku catitan itu digantungkan di leher orang itu, yang satu sebagai pemimpin dan yang satu lagi sebagai penyaksi.
Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi : Sesungguhnya suatu perkara besar sedang menanti kamu di hari muka, yang mana kamu tiada tertanggung olehnya, maka hendaklah kamu memohon pertolongan Allah yang Maha Agung.
Hadis ini dicatit oleh Al-Hafih As-Sayuthi rahimahullah di dalam kitabnya Syarhus-Shudur, yang menurutnya telah dikeluarkan oleh Ibnu Abid-Dunya dan Abu Nu’aim.

Sunnah Ikutan Hingga ke Syurgaaa..

KEWAJIPAN ORANG-ORANG ISLAM TERHADAP AL-SUNNAH
oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Al-Sunnah al-Nabawiyyah adalah manhaj yang lengkap bagi kehidupan individu dan masyarakat Islam, sebagaimana yang kita ketahui ia sebagai penafsir al-Qur'an dan gambaran Islam.

Rasulullah s.a.w. adalah pernyataan al-Qur'an dan gambaran Islam yang tergambar pada setiap ucapan, perbuatannya dan sirahnya, baik ketika bersendirian mahupun di kalangan orang ramai, sama ada ketika di dalam negeri atau bermusafir, ketika jaga dan tidur. Pernyataan dan gambaran itu juga terserlah pada kehidupan yang khusus untuk baginda atau untuk umum, perhubungan dengan Allah s.w.t. dan dengan manusia, dengan kaum kerabat yang dekat dan yang jauh, para ketua dan juga musuh-musuh, ketika aman dan perang, ketika tenteram dan ketika ditimpa bencana......................
KEWAJIPAN ORANG-ORANG ISLAM TERHADAP AL-SUNNAH
oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Al-Sunnah al-Nabawiyyah adalah manhaj yang lengkap bagi kehidupan individu dan masyarakat Islam, sebagaimana yang kita ketahui ia sebagai penafsir al-Qur'an dan gambaran Islam.

Rasulullah s.a.w. adalah pernyataan al-Qur'an dan gambaran Islam yang tergambar pada setiap ucapan, perbuatannya dan sirahnya, baik ketika bersendirian mahupun di kalangan orang ramai, sama ada ketika di dalam negeri atau bermusafir, ketika jaga dan tidur. Pernyataan dan gambaran itu juga terserlah pada kehidupan yang khusus untuk baginda atau untuk umum, perhubungan dengan Allah s.w.t. dan dengan manusia, dengan kaum kerabat yang dekat dan yang jauh, para ketua dan juga musuh-musuh, ketika aman dan perang, ketika tenteram dan ketika ditimpa bencana.
Antara kewajipan orang Islam ialah mengetahui Manhaj Nabawi yang terdapat di dalamnya ciri-ciri kesyumulan, kesempurnaan, seimbang dan mudah, yang terpancar padanya makna ketuhanan yang utuh, kemanusiaan yang unggul dan keperibadian atau akhlak yang kukuh.
Hal ini mewajibkan mereka mengetahui bagaimana hendak membetulkan kefahaman tentang al-Sunnah yang mulia ini dan bagaimana cara berinteraksi dengan pemahaman yang sebaik-baiknya sebagaimana amalan golongan terbaik umat ini, iaitu kalangan Sahabat dan para pengikut mereka.
Pada pandangan penulis, masalah utama orang-orang Islam pada zaman ini ialah krisis pemikiran yang merupakan masalah dalaman. Contoh paling jelas dalam krisis pemikiran ini ialah masalah memahami dan berinteraksi dengan al-Sunnah, khususnya pada sesetengah ajaran utama Islam, yang dapat ditanggapi oleh mata kasar dan menjadi harapan serta diceburi oleh umat manusia di timur dan barat, yang kebanyakannya adalah natijah kefahaman mereka yang dangkal dan tersasar terhadap al-Sunnah.
WASPADA TERHADAP TIGA PENYAKIT
Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. yang memfokuskan kepada ilmu pengetahuan, kenabian dan Risalah yang ada di tangan para pelampau, pendusta dan orang-orang yang jahil.
Iaitu riwayat daripada oleh Ibn Jarir dan dilengkapkan dalam Fawa'idnya dan oleh Ibn 'Adi dan lain-lain dari­pada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda:
يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله ينفون عنه تحريف الغالين وانتحال المبطلين وتأويل الجاهلين . رواه البيهقي
Terjemahan: Ilmu ini akan dibawa oleh orang-orang yang adil dari setiap generasi. Mereka membersihkannya dari penyelewengan golongan pelampau, pendustaan orang-orang sesat dan ta'wilan orang-orang jahil. Riwayat al-Baihaqi.
Inilah tiga faktor penghancur yang setiap satunya sama-sama berbahaya terhadap warisan Nabi (al-Sunnah).
a. Penyelewengan Golongan Pelampau

Penyelewengan ini datang melalui cara yang melampau dan tokok tambah yang bertukar dari bentuk kesederhanaan (wasatiyyah) yang menjadi keistimewaan agama ini, berubah daripada konsep toleransi yang menjadi ciri agama yang mudah ini, dan berubah daripada konsep tidak menyulitkan yang merupakan ciri taklif syari'at ini.
Sesungguhnya sikap melampaulah yang telah membinasakan Ahli Kitab sebelum ini, yang telah melampaui batas dalam aspek aqidah, ibadat dan tingkah laku.
Al-Qur'an telah merakamkan hal demikian ketika Allah s.w.t. berfirman:
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ
"Katakanlah, "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agama kamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia) dan mereka sesat dari jalan yang lurus." ) al-Ma'idah:77).
Kerana ini Ibn 'Abbas telah meriwayatkan daripada Rasulullah s. a. w.:
إياكم والغلو في الدين فإنما هلك من كان قبلكم بالغلو في الدين
Terjemahan: Hendaklah kamu menjauhi sikap melampau-lampau dalam agama, sesungguhnya orang yang terdahulu daripada kamu telah binasa kerana melampau dalam agama. Riwayat Ibn Majah.
Dan diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud r.a. daripada Rasulullah s.a.w.:
هلك المتنطعون
Terjemahan: Orang-orang yang melam­paui batas telah binasa. Riwayat Muslim.
(Rasulullah s.a.w. mengucapkannya sebanyak tiga kali.)
b. Pendustaan oleh orang-orang sesat

Dalam hal ini terdapat pendustaan yang diserapkan oleh ahli-ahli pendusta ke dalam manhaj al-Nabawi yang sebenarnya bukan daripada Baginda. Mereka menampilkan rekaan-rekaan dan bid'ah ke dalamnya yang tidak dapat diterima oleh sifat semulajadinya, ditolak oleh aqidah dan syari'atnya, dan jauh daripada prinsip agama mahupun cabangnya.
Apabila mereka gagal menyusupkan sesuatu (rekaan dan bid'ah) ke dalam al-Qur'an yang dipelihara di dalam dada orang-orang Islam, yang termaktub di dalam mushaf-mushaf dan sentiasa dibaca oleh orang-orang Islam, mereka menyangka usaha-usaha mereka untuk membuat pendustaan atau tokok tambah terhadap al-Sunnah adalah lebih mudah, yang membolehkan mereka berkata, "Rasulullah s.a.w. bersabda ..." tanpa sebarang keterangan. Tetapi tokoh-tokoh ulama umat Islam dan para pemelihara (pencinta) al-Sunnah telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menghadapi mereka dan menutup segala pintu pendustaan.
Para ulama tidak akan menerima sebuah hadis pun tanpa sanad, dan mereka tidak akan menerima sanad-sanad tanpa menjelaskan perawi-perawinya satu-persatu, sehingga dikenali siapa dia dan diketahui riwayat hidupnya, bermula dari tarikh kelahirannya hingga saat kematiannya. Mereka juga ingin mengetahui di mana dia mendengar riwayat? Siapa guru-gurunya? Siapa sahabat-sahabatnya dan siapa murid-muridnya. Setakat mana sifat amanah dan taqwanya? Bagaimana hafalan dan ingatannya (kedabitan-nya)? dan setakat mana kesepakatannya dengan perawi-perawi thiqah yang masyhur atau periwayatan yang lemah (gharib) secara sendirian. Kerana itulah mereka mengatakan, "Al-Isnad (rantaian perawi) sebahagian daripada agama, jika tanpa al-isnad, orang akan mengatakan apa sahaja yang mereka mahu.

Penuntut ilmu tanpa isnad seperti pencari kayu pada waktu malam!
Mereka juga tidak akan menerima sesebuah hadis melainkan hadis yang bersambung sanadnya daripada awalnya hingga akhir oleh perawi-perawi yang thiqah lagi adil dan dabit, tanpa kecacatan yang jelas atau tidak jelas dan selamat daripada syaz atau illah (kecacatan) yang buruk.
Inilah ketelitian syarat-syarat dalam pengajian al-isnad yang menjadi panduan dan ikutan bagi umat Islam dan yang telah didahului oleh umat yang maju zaman ini dalam meletakkan asas-asas metodologi ilmu sejarah.
c. Takwilan Orang-orang Jahil
Dalam hal ini terdapat takwilan menyeleweng yang merosakkan hakikat Islam, yang memalingkan kebenaran daripada tempatnya yang sebenar, yang mengurangkan kandungan Islam, hingga terkeluar daripada hukum-hukum dan ajaran-ajarannya yang dasar. Hal ini dapat dilihat pada percubaan ahli al-batil (penyesat) yang hendak memasukkan sesuatu yang bukan Islam ke dalam Islam, ataupun melambat-lambatkan apa yang sepatutnya didahulukan dan mendahulukan apa yang sepatutnya dikemudiankan.
Inilah takwil yang buruk dan fahaman yang keji di kalangan orang jahil terhadap agama Islam, iaitu orang-orang yang tidak menghayati semangat agama dan tidak pula membuka mata mereka kepada kebenarannya, maka ilmu mereka tidak mantap untuk melihat kebenaran kerana mereka tidak terlepas daripada fahaman yang menyeleweng dan membelakangkan hukum-hukum yang tetap jelas atau al-muhkamat. Sebaliknya mereka mengikut hukum-hukum yang samar atau al-mutasyabihat dan mencipta fitnah dan takwilan-takwilannya kerana mengikut hawa nafsu yang menyesatkan daripada jalan Allah.
Takwil orang-orang jahil ialah mereka memakai pakaian ulama dan menzahirkan sikap hukama. Inilah yang mesti kita berikan perhatian dan berwaspada serta merancang langkah-langkah yang perlu bagi menghindarkan diri daripada terjebak di dalamnya. Sesungguhnya kemusnahan golongan yang meyalahi danmeyimpang dari aqidah dan syariat Islam serta golongan yang sesat kerana takwilan mereka yang jelek dan keji.
Sehubungan dengan itu, penulis memetik satu ucapan jelas daripada Imam Ibn al-Qayyim yang ditulis di dalam Kitab al-Ruh mengenai kepentingan kefahaman yang betul (baik) tentang Hadith Rasulullah s.a.w.:
"Sepatutnya difahamkan maksud Hadith Rasulullah s.a.w. tanpa keterlaluan dan kecuaian. Janganlah diertikan (diandaikan) maksud percakapannya kepada yang bukan dimaksudkannya. Janganlah dikurangi maksudnya dan tujuan-tujuan kandungannya yang terdiri daripada petunjuk dan penerangan, sesungguh­nya kecuaian dan penyimpangan maksud akan menyesatkan daripada maksud yang sebenar. Tiada yang mengetahui melainkan Allah, bahkan fahaman yang buruk dan salah yang menyimpang daripada mak­sud Allah dan Rasul-Nya merupakan punca segala bid'ah dan kesesatan yang dihidupkan di dalam Islam, juga punca segala kesalahan dalam memahami prinsip asas (al-usul) dan cabang hukum-hukum (al-furu'), dan tentunya membawa kepada objektif yang salah. Fahaman yang salah juga diakui dalam sesetengah perkara yang menjadi ikutan ramai dengan tujuan baik sedangkan orang yang diikuti bertujuan tidak baik. Apakah musibah yang terkena pada agama dan penganutnya (Islam)I Semoga Allah sentiasa memberi pertolongan. Apakah yang telah berlaku kepada golongan Qadariyyaht Murji'ah, Khawarij, Mu'tazilah, Jahmiyyah, Rawafid dan semua golongan ahli bid'ah, melainkan fahaman yang salah mengenai Allah dan Rasul-Nya, hingga urusan memahami agama terletak di tangan kebanyakan orang. Inilah sebab kemunculan fahaman-fahaman (yang salah), di mana kefahaman para Sahabat dan Tabi'in r.a. mengenal Allah dan Rasul-Nya dibiarkan dan ditinggalkan oleh mereka… hingga anda membaca al-Qur'an dari awal hingga akhir, anda tidak mendapati fahaman sepertl golongan di atas memahami maksud daripada Allah dan Rasul-Nya sebagaimana yang sepatutnya walau dalam satu tempat pun. Ini kerana dia mengetahuinya daripada kebiasaan fahaman orang ramai dan menolak apa yang didatangkan kepada Rasulullah s.a.w. lantas terjadilah perkara yang sebaliknya, iaitu penolakan apa yang didatangkan kepada Rasulullah. Dia mengikut apa yang dipercayainya dan yang dipilihnya serta mengikuti orang yang disangka baik untuk dijadikan ikutan. Ketika itu kata-kata tidak berguna lagi. Semuanya akan ditolaknya, dan dipilihnya apa yang sesuai untuk dirinya sahaja...
wallahua'lam
Masalah
Apa hukum orang yang menulis ayat-ayat Quran dengan membuat secara lukisan bentuk rupa manusia atau binatang seperti tulisan” Bismillahirrahmanirrahim” berbentuk rupa orang yang duduk membaca tahiyyat di dalam sembahyang? Dan apakah hukum menggunakan tulisan-tulisan ini buat hiasan rumah?
Fatwa
Hukum menulis ayat Quran dengan membuat secara lukisan rupa manusia atau binatang adalah ditegah jika adalah lukisan itu dengan rupa yang hidup kerana berpandu kepada kitab Fathul Mai’n, juzuk 3 muka surat 362 yang berbunyi: ويحرم ولو على نحو ارض تصوير حيوان ...الخ. Hukum, menggunakan tulisan-tulisan ini buat hiasan rumah adalah ditegah juga.

SemBahyang

Golongan Manusia Dgn SemBahYang NYa


1. Golongan yang langsung tidak bersembahyang dan menolak perintah sembahyang.
Mereka ini namanya saja Islam, tetapi memang tidak mahu sembahyang
Malah tak tahu pun macam mana hendak sembahyang dan tak ambil peduli langsung tentang sembahyang. Mengikut Hadis, mereka ini dihukum sebagai kufur. Kalau dah kufur...confirmlah kekal selama-lamanya dalam Neraka...waliauzubi llah.




2. Golongan yang bersembahyang tanpa ilmu sembahyang.
Mereka ini sembahyang sebab terikut-ikut orang lain sembahyang.Tetapi yang sebenarnya
, tak tamat ilmu sembahyang pun. Mereka ini tidak tahu yang mana satu rukun dan yang mana satu sunat. Bacaan pun tak betul, yang panjang jadi pendek dan yang pendek jadi panjang. Sah batalnya tidak tahu, bab bersuci pun tidak beres lagi. Sembahyang begini tentulah tidak diterima ALLAH SWT. Macamlah orang yang bagi jawapan tak betul dalam exam, mana cikgu nak luluskan. Tak passlah jawabnya!



3.Golongan yang ada ilmu sembahyang tetapi tak kuat nak lawan nafsu.
Mereka ini lulus subjek Pengetahuan Agama Islam, kadang-kadang boleh score A1 lagi. Tapi bila Brazil masuk World Cup final, sembahyang pun 'qada'.Kadang- kadang terlepas waktu kerana sibuk sangat buat kerja nak cari duit. Kalau sembahyang pun, sembahyang exercise sahaja. Tonggang tonggek untuk lancarkan peredaran darah tapi fikiran mereka boleh round seluruh dunia. Mereka ini golongan yang fasik atau zalim. Untuk mudah nak faham, mereka ini golongan Islam yang jahat. Macam mana yang dikatakan jahat? Mengadap Tuhan boleh lagi nak main-main... kalau depan raja pun orang dah kata biadap, inikan pula depan Tuhan, Raja segala raja.Mereka ini kalau tak merayu minta ampun, alamatnya akan dihalau dari istana raja (kalau dengan Tuhan - Syurgalah) Kalau dah dihalau dari Syurga, kemana agaknya kita kena pergi, sudah tentu semua dah maklum!



4. Golongan yang lalai dalam sembahyang
Mereka ini satu tangga lebih baik dari yang tadi. Mereka dah tak main qada' sembahyang. Kadang-kadang bila frust atau dalam keadaan stress, cukup rajin pula sembahyang jemaah dimasjid atau di surau. Orang sangka mereka ini orang baik-baik, tetapi sebenarnya belum lagi Kalau kita nak tahu, diwaktu sembahyang hati dan fikiran mereka selalu melayang teringatkan problem yang
masih tak selesai.
Contohnya bergaduh dengan isteri, ceti dah datang, kunci hilang dll.

Kadang-kadang sungguh hebatnya sampai teresak-esak menangis dalam sembahyang. Bukan tangiskan dosa dan takutkan Tuhan tapi sebab melayan perasaan sendiri. Dan ada dikalangan mereka yang lebih hebat lagi, bila bagi salam, kunci pun dapat! Memang tepatlah kalau mereka ini dikatakan golongan yang lalai.Mereka ini termasuk juga golongan yang biadap dengan Tuhan, macam orang yang berdepan dengan raja tapi buat hal sendiri Raja tetap marah kerana tidak dihormati. Di Akhirat nanti, tempat mereka ialah di Neraka Wail, waliauzubillah.



5.Golongan yang sembahyang tarik tali.
Mereka ini lebih baik sikit dari yang di atas iaitu sentiasa tarik tali antara ingat bacaan sembahyang dengan tidak. Kadang-kadang ingat, kadang-kadang lalai. Macamlah orang yang ada penyakit amnesia (hilang ingatan). Kejap sedar, kejap tak sedar. Baru cakap separuh jalan, dah pengsan. Kalau raja rasa yang penyakit ini dah teruk, tentu raja suruh dia tinggal di hospital agar penyakitnya boleh di"rawat ".Kalau masih terkawal, ada peluang juga tinggal di kalangan tetamu raja. Jadi, golongan ini walaupun bersembahyang tapi belum selamat. Sebab terpulanglah kepada Tuhan, macam mana Than nak beri 'markah'. Golongan ini bila sedar, hendaklah banyak meminta ampun kepada ALLAH, moga-moga ALLAH terima mana-mana bahagian sembahyang yang dia ingat, manakala yang lalai tidak dikira. Disamping itu, hendaklah mereka terus tingkatkan kualiti sembahyang mereka.



6.Golongan yang tidak memahami sepenuhnya maksud bacaan dalam sembahyang.
Mereka ini fikirannya tidak lagi melilau-lilau atau bertarik tali dalam sembahyangnya. Mereka dah boleh beri tumpuan pada bacaan-bacaan dan lafaz-lafaz yang diucap dalam sembahyang. Sembahyang mereka pun nampak cantik dan sempurna. Kalau baca Fatihah, kalah lidah orang Arab, tetapi tak ubah macam duit palsu sahaja. Nampak macam yang original tapi tak ada nilai apa-apa. Mereka ini sebenarnya tak faham apa yang dibaca...dan tak nak pula belajar makna bacaan sembahyangnya. Nak khusyuk macam mana?... memanglah impossible! Inilah golongan awamul muslimin. Golongan ini juga belum selamat. Kalau di depan raja, mereka ini ibarat burung kakak tua yang tak faham apa yang diperkatakannya. Manusia yang berperangai burung kakak tua didepan Tuhan, manalah Tuhan suka!



7.Golongan yang selamat.
Mereka bersembahyang dengan tepat sebagaimana yang dikehendaki ALLAH. Selain sembahyangnya tepat secara zahir, fikiran dan hatinya dapat ditumpukan sepenuhnya kepada sembahyang. Faham pula apa yang diucapkan dalam sembahyang. Kalau di istana, mereka inilah yang layak jadi tetamu raja. Mereka berkelakuan sopan dan pandai menghormati raja. Raja pun suka pada mereka.Raja tidak berat hati nak offer duduk lama-lama dalam istananya. Golongan ini selamat di dunia dan di Akhirat dan dapat masuk Syurga.Mereka inilah yang dikatakan orang-orang soleh.



8.Golongan muqarrabin
Mereka bukan sahaja khusyuk dalam sembahyang, tetapi dapat juga rasa lazat dalam sembahyang, lebih lazat dari makan sate Kajang. Bila baca tentang azab ALLAH, kecut hati dan perut mereka.Bila baca tentang rahmat ALLAH, hati mereka cukup tenang dan gembira. Mereka benar-benar dapat menjiwai sembahyang mereka. Darjat mereka ini lebih tinggi dari golongan 7. Kalau di istana raja, mereka ibarat pekerja-pekerja yang setia dengan raja. Bukan saja mereka memuliakan raja, bahkan semua titah raja dilaksanakan dengan sungguh-sungguh dan rasa seronok. Tak bagi gaji pun tak apa, asalkan dapat berkhidmat kpd raja. Orang begini, memanglah boleh terus menerus duduk di dalam istana. Nak keluar masuk istana, tak payah soal siasat. Cukup tunjukkan punch card. Malah raja bagi pula kemudahan-kemudahan istimewa untuk mereka. Di Akhirat nanti, mereka bukan sahaja selamat, tetapi tidak banyak dihisab di Padang Mahsyar. Mereka ini bukan sahaja tidak melakukan perkara yang haram dan makruh, malah yang harus juga dijadikan ibadah.



9. Golongan siddiqin
Golongan ini golongan yang luar biasa. Mereka ini bukan kena paksa diri untuk sembahyang tetapi betul-betul seronok nak sembahyang. Bukan rasa lazat sahaja, tetapi sangat terhibur dan begitu asyik mahsyuk kpd ALLAH sewaktu sembahyang (macam orang yang sedang memadu cinta) Mereka ini terdiri dari kalangan para rasul dan anbia' ALLAH. Mereka ini ibarat menteri-menteri dan panglima raja. Mereka boleh rasa terhibur kalau terpaksa gadaikan nyawa sendiri untuk selamatkan raja. Mana raja tak sayangkan mereka!. Keluar masuk istana langsung tidak diperiksa. Malah banyak keistimewaan yang dianugerahkan raja kpd mereka.Nasib mereka di Akhirat tak payahlah nak dicerita. Merekalah yang menjadi wakil Tuhan untuk selamatkan manusia.

Begitulah 9 kategori golongan manusia dan sembahyangnya. ..dimana kita agaknya? Bila diperiksa sembahyang kita agaknya belum lulus lagi.


Ingatkan rasa lega dah tunaikan sembahyang, rasa dah cukup baik tetapi rupa-rupanya belum selamat lagi. Rupa-rupanya masih derhaka dan sangat biadap dengan Tuhan. Masya-ALLAH tak sedar yang kita derhaka dalam buat taat!.

Marilah kita berusaha sungguh-sungguh untuk meningkatkan sembahyang ke peringkat 7 atau 8 kalau kita sayangkan diri kita. (Peringkat 9 memang tak boleh untuk orang macam kita). Moga-moga kita selamat di dunia dan Akhirat. Amin ya Rabbal 'aalamin

Friday, April 2, 2010

IBADAT SEMBAHYANG

Adakah anda ingin meningkatkan kuliti sembahyang anda
sila ikuti ceramah kitab MUNIATUL MUSALLI, kitab yang menyentuh perihaL sembahyang dengan sempurna.

Dari ustaz...

Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman

keSempunakan ibadat sembahYang akan menentukan kesempurnan keseluruhan hidup kita.....

INSYaAllah....



salammm

1. Kitab 1.. ( 20 kuliah)

2. Kitab 2... (14 Kuliah)