Welcom to BaONG Blog
JellyMuffin.com - The place for profile layouts, flash generators, glitter graphics, backgrounds and codes

Tuesday, August 6, 2013

Hukum Penggunaan Inhaler, Accuhaler dan Alat Perubatan Lain Ketika Puasa

Hukum Penggunaan Inhaler dan Accuhaler Ketika Puasa.

بسم الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين،

نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد:

Menunaikan ibadat puasa dengan sempurna merupakan perkara asas yang perlu diketahui oleh setiap muslim, menjaga puasa dari perkara yang membatalkannya juga tidak kurang pentingnya, oleh itu perbincangan tentang perkara ini adalah perlu untuk menjaga puasa dari terbatal, dan membatalkan puasa dengan perkara yang sebenarnya tidak membatalkannya akan menyempitkan ruang yang telah diperluaskan oleh Allah swt. Ayat 185 dari Surah Al-Baqarah adalah salah satu ayat yang telah disebut oleh Allah swt tentang keringanan syariat-Nya:

[ يُرِيدُ اللهُ بِكُمُ الْيُسْرَ، وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ ]

{Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.}

Oleh kerana ramai masyarakat yang bertanya tentang hukum penggunaan Inhaler oleh orang yang memerlukannya dan juga beberapa hukum yang berkaiatan dengan kesihatan yang lain, maka kami catatkan di sini beberapa isu tersebut, semoga ianya member manfat untuk menyelesaikan persoalan tersebut.
Perbincangkan isu ini kami pilih dari sebuah buku berjudul: مُفطِرات الصيام المعاصِرة “Mufthirat as-Siyam al-Mu’asirah (Perkara-perkara Semasa Yang Membatalkan Puasa) yang ditulis oleh Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, pensyarah Universiti al-Qasim, Arab Saudi, [Dar Ibnu Jauzi, Arab Saudi, Cetakan Pertama, 1426H/2005M / http://saaid.net/book/open.php?cat=97&book=2020.

Perbincangannya seperti berikut;
Antara Isu-isu baru berkaitan dengan perkara membatalkan puasa.
Perbahasan tentang tajuk ini dapat dibahagikan kepadaa dua bahagian iaitu pertama benda-benda yang masuk ke dalam badan orang yang berpuasa. Ia melibatkan beberapa masalah.
A- BENDA-BENDA YANG MEMASUKI BADAN MELALUI MULUT.
Perbahasan di bawah tajuk ini pula dapat dibahagikan kepadaa beberapa persoalan kecil.
1. Penggunaan Inhaler Mulut.
Inhaler merupakan satu alat yang mengandungi ubat dalam bentuk cecair yang mengandungi tiga jenis bahan iaitu ubat-ubatan, air dan juga oksigen. Cara penggunaannya dilakukan di dalam bentuk mengangkat, kemudian menekannya ke dalam mulut atau hidung. Pada masa itu bahan-bahan yang terkandung di dalamnya akan keluar dan memasuki tekak melalui mulut atau melalui bahagian dalam hidung. Sebahagian daripadanya akan kekal berada di dalam tekak. Kadang-kadang satu kuantiti kecil akan berada di dalam kerongkong.
Pendapat Ulama:
Ulama’ masa kini berselisih pendapat tentang penggunaan inhaler ini kepada dua iaitu:
Pendapat Pertama
Penggunaan inhaler tidak membatalkan mahupun merosakkan puasa. Inilah pendapat As-Syeikh Abd Aziz bin Baaz, As-syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin, As-Syeikh Abdullah bin Jabrin, As-Syeikh Dr. As-siddiq Ad-Darir, Dr. Muhammad Al-Khayyat dan Jawatankuasa Fatwa Tetap Kerajaan Arab Saudi.
Alasan Hukum:
a. Bahan yang terdapat di dalam inhaler yang masuk ke dalam kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit, kerana itu, hukumnya tidak membatalkan puasa, sebagai qiyas kepada berkumur danistinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’).
Satu alat inhaler mengandungi 10 ml cecair, yang mengandungi ubat-ubatan. Kuantiti ini cukup untuk digunakan sebnyak 200 kali semburan. Setiap kali semburan, mengeluarkan jumlah yang rendah, tidak sampai 1ml. Setiap semburan tidak sampai 1 titis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan bahagian yang paling besar memasuki bahagian pernafasan. Satu bahagian memasuki kerongkong, manakala bakinya jatuh ke dalam perut. Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, sebagai qiyas kepada air yang terlekat pada tekak hasil berkumur dan istinsyaq. Malah sisa air yang terlekat pada bahagian tekak lebih banyak daripada kuantiti semburan inhaler yang memasukinya. Dengan ini, jika seseorang berkumur dengan air yang diperkaya dengan bahan-bahan tertentu (seperti mineral atau vitamin, yang hanya boleh dilihat dibawah sinar x), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui tidak berapa lama selepas itu di dalam perut, yang sekaligus membuktikan kewujudan bahan tersebut di dalam perut, tetapi di dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan. Kuantiti sisa air dari berkumur dan istinsyaq tersebut dari segi keyakinannya, sudah tentu melebihi kuantiti semburan inhaler yang memasuki kerongkong, jika diandaikan ia memasuki kerongkong.
b. Semburan yang masuk ke dalam perut, satu perkara yang belum pasti, sebaliknya masih diragui. Mungkin masuk dan mungkin juga tidak. Berdasarkan kepada hukum asal, puasa sah dan tidak rosak. Perkara yang yakin, tidak dapat dihilangkan dengan perkara yang masih ragu-ragu.
c. Ia tidak sama dengan makan dan minum, sebaliknya lebih menyerupai pengambilan darah untuk ujian klinikal dan suntikan yang tidak mengandungi makanan (nutritive).
Perbahasan kepada alasan ini: Walau bagaimanapun alasan ini boleh dipertikaikan, kerana memang wujud kuantiti tertentu air di dalam kandungan ubatan yang terdapat di dalam Inhaler, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
d. Bahan semburan akan keluar dalam bentuk wap dan tidak akan sampai ka dalam perut, sebaliknya hanya ke dalam ruang di dalam paru-paru sahaja.
Perbahasan kepada alasan ini: Walau bagaimanapun sebelum ini, kita telah menjelaskan kuantiti kecil semburan Inhaler juga masuk ke dalam perut.
e. Pakar-pakar perubatan memperakui penggunaan siwak (kayu sugi) mengandungi lapan jenis bahan kimia, yang dapat mengawal gigi dan gusi dari serangan penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu meresap pada lidah dan memasuki tekak, apabila seseorang bersiwak.
Di dalam Sahih Al-Bukhari daripada ‘Amir bin Rabi’ah, katanya: “Saya melihat Rasulullah s.a.w bersiwak, dalam jumlah yang tidak dapat saya hitung, sedangkan Baginda berpuasa.”
Sekiranya bahan-bahan kimia yang memasuki tekak ini dimaafkan, kerana kuantitinya yang sedikit dan tidak disengajakan, begitu jugalah bahan-bahan daripada Inhaler yang memasuki tekak, juga dimaafkan, di atas sebab yang sama.
Perbahasan kepada alasan ini: Mereka yang bersiwak, berkumur dan beristinsyaq tidak berniat untuk memasukkannya ke dalam tekak, jika masukpun secara tidak sengaja. Berbeza dengan penggunaan inhaler yang mmg disembur ke dalam tekak.
Jawapan: Semua itu kembali kepada qasad dan niat, maka mereka yang menggunakan inhaler juga tidak berniat memasukkannya ke dalam rongga dan perut, mereka menggunakannya untuk melegakan pernafasan iaitu ke paru-paru.
Pendapat Kedua:
Golongan ini berpendapat, penggunaan Inhaler membatalkan puasa dan tidak harus digunakan pada siang hari bulan Ramadhan kecuali pada waktu terdesak dan sangat diperlukan oleh pesakit sahaja. Orang yang menggunakan Inhaler pada siang hari bulan Ramadhan hendaklah mengqada’ puasa untuk hari itu.
Inilah pendapat yang dikemukakan oleh Dr. Fadl Hasan Abbas, As-Sheikh Muhammad al-Mukhtar Sulami, Dr. Muhammad Alfai, As-Sheikh Muhammad Taqiuddin Al-Uthmani, dan Prof. Dr. Wahbah Mustafha Az-Zuhaili.
Alasan Hukum:
Bahan-bahan yang terdapat di dalam Inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut. Oleh itu, ianya dianggap membatalkan puasa.
Perbahasan ke atas Alasan: Alasan ini boleh dijawab dengan merujuk kepada alasan pertama yang dikemukakan oleh golongan pertama di atas.
PENDAPAT TERPILIH:
Pendapat yang jelas lagi nyata di dalam kes ini -Allah yang Maha Mengetahui hakikat yang sebenarnya- penggunaan Inhaler tidak membatalkan puasa.
Pandangan golongan pertama yang menyatakan penggunaannya tidak membatalkan puasa, adalah sesuai dan logik. Manakala qiyas mereka kepada berkumur, istinsyaq dan siwak, adalah qiyas yang betul. Wallahu A’lam.
Hukum Inhaler Menggunakan Debu.
Adapun hukum inhaler yang menggunakan debu, para ulama semasa berselisih pendapat agak kuat lebih daripada isu inhaher, memandangkan debu tersebut mungkin terlekat di halkum atau kerongkong.
Menurut Kajian Dr. Khalid bin Abdullah Al-Muslih:
Semua jenis penggunaan inhaler dengan pelbagai jenisnya, termasuk yang menggunakan debu yang disedut melalui mulut atau hidung, semuanya tidak membatalkan puasa menurut pendapat yang rajah (kuat hujjahnya).
Alasan Hukum:
1- Sedutan yang dilakukan pergi ke bahagian pernafasan, bukan pergi ke saluran makanan dan minuman.
2- Kalaupun ada yang termasuk ke saluran makanan ianya adalah terlalu sedikit, tidak lebih pada kebiasaannya debu-debu yang masuk melalui pernafasan
(Fiqh Syafieyyah mengatakan: “Sekiranya lalat atau nyamuk, atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa TIDAK batal. Ini kerana untuk menghindarinya adalah tersangat susah (masyaqqah). Begitu juga dengan menelan air liur.”
3- Debu ubat itu tidak dikira sebagai sejenis makanan dan minuman, atau yang bermakna sejenis makanan.
4- Berpegang dengan hukum Asal, bahawa puasa seseorang itu tidak batal sehingga ada dalil yang menentukan perkara itu batal, Wallahu a’lam.

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH SETIAP MALAM

Unit Kajian Dan Penyelidikan, Bahagian Kajian Dan Penerbitan, Pusat Da’wah Islamiah sedang menjalankan kajian mengenai dengan hadis fadhilat sembahyang Tarawih, kitab Durrah AI-Nashihin (terbitan Mesir tahun 1949), diriwayatkan oleh Ali bin Abu Thalib.
Hadis tersebut sangat popular di kalangan masyarakat di negara ini kerana sejak 10 tahun yang lalu penerbitan-penerbitan buku (risalah) mengenai hadis tersebut telah dijalankan dan hadis-hadis berkenaan juga disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei dalam bentuk promo bagi maksud mentarghib masyarakat supaya mendirikan sembahyang Tarawih dengan teratur.Sepanjang tempoh tersebut, kitani tidak pemah mempersoalkan tentang sanad atau sumber hadis tersebut. Bagaimanapun, Berita Harian (Malaysia) keluaran 31hb. Disember, 1998, Ihb. Januari, 1999 dan 16hb. Januari, 1999 telah mempersoalkan keshahihan hadis tersebut sehingga sampai kepada kesimpulan bahawa hadis tersebut adalah hadis maudh71 ‘.
Sukacita kami menghadapkan isu mengenai hadis ini kepada Pehin bagi mendapatkan fatwa dan ketentuan tentang kedudukan hadis-hadis berkenaan untuk dijadikan pegangan dan menghindari keraguan di kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Jawapan:
الحمد الله الفتاح الوهاب الهادى إلى الحق والصواب، والصلاة والسلام على رسوله سيدنا محمد خاتم الانبياء والمرسلين، وآله وصحبه أجمعين.
Hadis mengenai fadhilat sembahyang Tarawih yang disebutkan dalam kitab Durrah Al- Nashihin bermaksud: “ Daripada Ali Bin Abu Talib Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu alaihi Wasllam telah ditanya tentang keutamaan-keutamaan Tarawih di bulan Ramadhan. Baginda bersabda: “ Orang mukmin keluar daripada dosanya pada:
Malam pertama: Seperti saat dia dilahirkan ibunya
Malam kedua: Dia diampuni, juga kedua orang tuanya, jika keduanya mukmin.
Malam ketiga: Malaikat berseru dari bawah ‘Arasy. Mulailah beramal, semoga Allah mengampuni dosamu yang telah lalu.”
Malam keempat: Dia memperolehi pahala seperti pahala membaca Taurat, Injil, Zabur dan Al-Furqan.
Malam kelima: Allah Ta’ala memberinya pahala seperti pahala orang yang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam keenam: Allah Ta’ala memberinya pahala orang yang bertawaf di Makmur dan dipohonkan ampun oleh setiap batu dan cadas ( lapisan tanah yang keras )
Malam ketujuh: Seolah-olah dia mencapai darjat Nabi Musa ‘Alaihi salam dan kemenangannya atas Firaun dan Haman
Malam kelapan: Allah Ta’ala memberinya apa yang pernah Dia berikan kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam
Malam kesembilan: Seolah-olah dia menyembah Allah Ta’ala sebagaimana ibadat Nabi Shallallahu alaihi wasalam
Malam kesepuluh: Allah Ta’ala mengurniakan kepada nya kebaikan dunia dan akhirat.
Malam kesebelas: Dia keluar dari dunia seperti saat dia dilahirkan dari perut ibunya.
Malam kedua belas: Dia dating pada Hari Kiamat sedang wajahnya bagaikan bulan di malam purnama.
Malam ketiga belas: Dia dating pada Hari Kiamat dalam keadaan aman daripada setiap keburukan
Malam keempat belas: Para malaikat datang seraya memberi kesaksian untuknya, bahawa dia telah melakukan sembahyang Tarawih, maka Allah tidak menghisabnya pada hari Kiamat.
Malam kelima belas: Dia didoakan oleh para malaikat dan para penanggung ‘Arasy dan Kursi
Malam keenam belas: Allah menetapkan baginya kebebasan untuk selamat dari neraka dan kebebasan masuk ke dalam syurga
Malam ketujuh belas: Dia diberi pahala seperti pahala para nabi.
Malam kelapan belas: Malaikat menyeru: “ Wahai Hamba Allah, sesungguhnya allah redha kepadamu dan kepada ibu bapamu.”
Malam kesembilan belas: Allah mengangkat darjat-darjatnya dalam syurga Firdaus.
Malam kedua puluh: Allah memberi pahala para syuhada’ dan shalihin.
Malam kedua puluh satu: Allah membangun untuknya sebuah gedung daripada cahaya
Malam kedua puluh dua: Dia dating pada hari Kiamat dalam keadaan aman daripada setiap kesedihan dan kesusahan.
Malam kedua puluh tiga: Allah membangun untuknya sebuah kota dalam syurga
Malam kedua puluh empat: Dia memperolehi dua puluh empat doa yang dikabulkan
Malam kedua puluh lima: Allah Ta’ala menghapuskan daripadanya azab kubur
Malam kedua puluh enam: Allah mengangkat pahalanya selama empat puluh tahun.
Malam kedua puluh tujuh: Dia dapat melewati Shirath pada Hari Kiamat, bagaikan kilat yang menyambar.
Malam kedua puluh lapan: Allah mengangkat baginya seribu darjat dalam syurga
Malam kedua puluh sembilan: Allah memberi pahala seribu haji yang diterima.
Malam ketiga puluh: Allah berfirman: “ Hai Hambakan makanlah buah-buahan syurga, mandilah daripada air Salsabila dan minumlah dari Kauthar. Akulah Tuhanmu, dan engkau hambaKu.” ( Majalis )
Setelah merujuk kepada kitab-kitab hadis yang muktabar di kalangan ahli Sunnah Wal Jama’ah, termasuk kitab-kitab yang menjadi sandaran dalam pencarian hadis-hadis, sehingga setakat ini tidak dijumpai hadis-hadis yang khusus menyebutkan tentang kelebihan sembahyang Tarawih dengan menyatakan ganjaran yang diperolehi pada setiap malam Ramadhan sepertimana yang dinyatakan.
Apa yang telah ditemui setakat ini, hanyalah riwayat-riwayat yang hampir sama dengannya dan dihubungkan sanadnya kepada sayyidina Ali Bin Abu Talib iaitu tersebut dalamkitab Bihar Al-Majlisi, salah Ramadhan dan kirab Was’a’il Al- Syi’ah karangan Al-Shiekh Muhammad bin Al-Hasan Al-Har Al-‘Amili dalam bab Istihab Al-Shalah Al-Mukhshushah Kulla Lailah min Syahr Ramadhan wa Awwal Yaum Minh.Maka sehubungan itu, oleh kerana hadis yang ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh dii’timad, maka ia mestilah dihentikan daripada dipromokan melalui radio ataupun televisyen.
Sekiranya Pusat Da’wah Islamiah ingin menggalakkan orang ramai supaya rajin dan bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang Tarawih, adalah lebih baik hadis-hadis yang dipromokan itu diambil daripada kitab-kitab yang muktabar.Fadhilat sembahyang Tarawih yang ada disebut dalam hadis-hadis yang terkandung dalam kitab-kitab sunan yang muktabar hanyalah secara umum sahaja tanpa menyebut fadhilat 30 malam Ramadhan itu.
Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada abu Hurairah Radhiallahu a’nhu, sabda Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: “ Sesiapa yang mendirikan sembahyang di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ( pahala daripada Allah ), diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu.”Hadis seumpama inu turut diriwayatkan oleh Muslim, Tirmidzi, abu daud, Imam Ahmad dan lainnya
Negara asal : Brunei darussalam
Negeri : Brunei
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia
Tarikh Diisu : 1999
Nota: Fatwa Mufti Kerajaan 1999
Sumber: infad.usim – Fatwa Brunei – Hadis Palsu
Lihat Juga: http://www.al-ahkam.net/home/hadis-fadhilat-tarawih-tiada-dalam-kitab-muktabar-ahlus-sunnah
Kedua:
KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH
Dikeluarkan oleh: Jabatan Mufti Negeri Terengganu. 
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.