Welcom to BaONG Blog
JellyMuffin.com - The place for profile layouts, flash generators, glitter graphics, backgrounds and codes

Saturday, October 5, 2013

AAM; Berakhirnya Dunia ini, No.90&91: "Hujan Turun tdk Lagi Membawa Rahm...

Lima Dosa Yang Mengundang Lima Bencana

Posted by  on 3 September 2013

Di penghujung usia dunia ini, pada saat akhir zaman, perkata mungkar dan maksiat yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai tanda dan alamat hampir Kiamat telah banyak dilakukan oleh manusia. Yang amat menakutkan, terdapat sebuah hadis yang menyatakan bahawa ada beberapa jenis maksiat yang akan disegerakan balasannya semasa di dunia ini lagi.
Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW datang kepada kami (pada suatu hari) kemudian Baginda bersabda:
“Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah diuji dengannya (jika kamu telah mengerjakannya), makatidak ada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT, semoga kamu tidak melalui zaman itu.
Perkara-perkara itu ialah:
1. Tidak terjadi perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus-terangan melakukannya, melainkan akan berjangkit di kalangan mereka wabak penyakit menular (Ta’un) dengan cepat, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang terdahulu.
2. Tidak mereka mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan, kecuali mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.
3. Dan tidak mereka menahan zakat harta benda, kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah SWT.
4. Dan tidaklah mereka menyalahi janji Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menurunkan ke atas mereka musuh yang akan merampas sebahagian dari apa yang ada di tangan mereka.
5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Qur’an dan mereka memilih ayat atau hukum yang mereka mahu, maka (di waktu itu) Allah akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri.”
[HR Ibnu Majah, Sahih al-Jami’ as-Soghir: 7978].

Keterangan Hadis di atas menerangkan bahawa:
1. Wabak Taun yang berjangkit dan kolera serta penyakit kelamin yang begitu banyak merebak sekarang seperti Aids, HIV adalah disebabkan banyaknya terjadi perzinaan.
2. Sukar mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah disebabkan daripada rakyat yang mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan. Lalu terjadilah inflasi, barang naik harga, harga minyak naik, pendapatan tidak mencukupi, banyak pengangguran dan lain-lain kemorosotan ekonomi.
3. Kemarau panjang disebabkan tidak mengeluarkan zakat. Sesetengah tempat, walaupun hujan turut banyak, tetapi air tidak mencukupi untuk kegunaan, iaitu hujan tidak lagi membawa berkat bahkan membawa bala bencana pula!
Lihat Video di: Hujan Banyak Air Tak Ada
4. Kuasa musuh mengambil sebahagian daripada apa-apa yang dimiliki kaum Muslimin (seperti hilangnya kuasa ekonomi daripada tangan kaum Muslimin) disebabkan mereka mengkhianati janji-janjinya kepada Allah SWT, tidak mentaati perintah Allah. Atau bagi negara Islam lain mungkin penjajah atau pelabur asing yang akan menguasai ekonomi dan hasil kekayaan negeri. Rakyat akan merempat di bumi sendiri!
5. Perang saudara yang berlaku dalam kalangan kaum Muslimin disebabkan mereka mengabaikan hukum-hukum Allah SWTdan tidak menjadikan Al-Qur’an sebagai undang-undang di dalam kehidupan. Akan berlaku perpecahan dan perbalahan, perperangan dan pembunuhan sesama sendiri berleluasa.

سنن ابن ماجه: عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: أَقْبَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ:

((يَا مَعْشَرَ الْمُهَاجِرِينَ خَمْسٌ إِذَا ابْتُلِيتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ تُدْرِكُوهُنَّ؛

1- لَمْ تَظْهَرْ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلَّا فَشَا فِيهِمْ الطَّاعُونُ وَالْأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلَافِهِمْ الَّذِينَ مَضَوْا.

2- وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلَّا أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَئُونَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ.

3- وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلَّا مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنْ السَّمَاءِ، وَلَوْلَا الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا.

4- وَلَمْ يَنْقُضُوا عَهْدَ اللَّهِ وَعَهْدَ رَسُولِهِ إِلَّا سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوا بَعْضَ مَا فِي أَيْدِيهِمْ.

5- وَمَا لَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ وَيَتَخَيَّرُوا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَّا جَعَلَ اللَّهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ))

Semoga Allah SWT selamatkan kita semua dari bala dan kemurkaan-Nya.

Abu Anas Madani, 3/9/2013 – 27 Syawal 1434H.

Mestika J1 Siri 19; Alamat Qiamat; Dajjal, Ya'juj Ma'juj, Imam Mahdi & A...

ANCAMAN DAJJAL MODEN & WOMEN’S LIB!

Posted by  on 3 September 2013
Dajjal adalah suatu fitnah yang cukup berat bagi orang yang akan bertemu dengannya, kerana itulah Rasulullah saw telah mengajar kepada kita agar sentiasa berdoa di akhir solat dengan doa ini:
Maksudnya:
Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, aku berlindung dengan-Mu daripada azab neraka jahanam, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan berlindung dengan-Mu daripada fitnah Al-Masih al-Dajjal“.
          Rasulullah SAW telah berwasiat dalam hadisnya agar kita meminta perlindungan dengan Allah SWT daripada fitnah dajjal diakhir tahiyyat setiap kali menunaikan solat. Dajjal yang ditakuti itu akan muncul di akhir zaman, sebagai salah satu dari tanda-tanda qiamat yang besar. Pada waktu itu ramai manusia yang tidak beriman atau yang goyah imannya di atas dunia ini akan menjadi pengikutnya, mempercayai bahawa ia adalah tuhan.
Mestika J1 Siri 19; Alamat Qiamat; Dajjal, Ya’juj Ma’juj, Imam Mahdi & Akhir Umur Dunia
     Menurut Rasulullah SAW juga, dajjal yang buta sebelah matanya tetapi mempunyai kuasa-kuasa misteri yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Dia boleh mendengar dengan telinganya apa yang diucapkan di hujung dunia sana, boleh melihat dengan mata sebelahnya itu apa yang berlaku dalam dunia ini, dia boleh berjalan mengelilingi dunia dalam masa beberapa hari sahaja, boleh mengeluarkan khazanah-khazanah seperti emas dan perak dari perut bumi dengan mudahnya, boleh menurunkan hujan dan menumbuhkan tanam-tanaman, boleh memati dan menghidupkan kembali orang yang telah mati. [Lihat: Nihayah
Al-Aalam 249]
     Dari Hudzaifah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
Dajjal ialah orang yang buta sebelah matanya iaitu sebelah kiri, lebat (panjang) rambutnya yang kerinting serta dia membawa Syurga dan Neraka. Nerakanya itu merupakan Syurga dan Syurganya pula ialah Neraka bagi orang Islam dan beriman kepada Allah SWT.”  [Hadis riwayat Muslim].
Maka sesiapa yang lemah imannya akan percaya bahawa dia adalah tuhan yang sebenarnya dan akan sujud patuh mengikut perintahnya, tapi sebaliknya orang yang kuat imannya akan dapat membaca tulisan di dahinya: ‘kaf, fa, ra’, iaitu kafir, dan mereka yakin bahawa ianya hanyalah satu penipuan untuk menguji keimanan manusia.
Daripada Qatadah, beliau mendengar daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidak ada seorang nabi kecuali ia telah memperingatkan kaumnya terhadap sang pendusta yang buta sebelah mata. Ketahuilah bahawa dajjal itu buta sebelah matanya sedangkan Tuhanmu tidak buta sebelah mata dan di antara kedua matanya tertulis “kaaf”, “faa”, “raa”. [Hadis riwayat Muslim].
Walaupun dajjal sebenar dengan segala macam fitnah yang akan dibawanya akan muncul di akhir zaman sewaktu hampirnya qiamat, namun Rasulullah SAW telah mengajar umatnya agar beramal dengan doa tersebut, mungkin kerana sebelum itu akan ada fitnah-fitnah –semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua darinya- yang serupa dengannya walaupun lebih kecil berbanding dengan fitnah dajjal yang hakiki.
Dajjal Moden:
Kali ini kita akan melihat perspektif tentang dajjal moden ini melalui hasil perbincangan di antara Syeikh Ibnu Bulaihid – yang merupakan tumpuan orang-orang Badwi di Najdi dan penduduk sekitarnya yang mahu belajar dan mendengar ilmu darinya – dengan seorang penulis yang terkenal di Arab Saudi iaitu Muhammad Asad yang berasal dari Austria. 
Beliau datang ke Saudi pada zaman pemerintahan Al-Malik Abdul Aziz dan merupakan seorang sahabat Almarhum yang sangat dihormatinya. Beliau mencatatkan perbincangan tersebut dalam bukunya yang masyhur: ‘The Road to Mecca (Makkah)’.
Buku ini juga telah diterjemahkan ke bahasa Arab dengan judul:‘At-Torik Ila al-Islam’. Dengan pengalamannya sebagai orang barat (Western man) yang non-Muslim sebelum ini, beliau mengibaratkan huraian dajjal yang disebutkan di dalam hadis itu sebagai satu huraian yang menepati tentang kemajuan teknologi dunia moden hari ini (sebelum datangnya dajjal akhir zaman yang hakiki). Iaitu tentang kehidupan manusia hari ini yang telah luput maruahnya, hilang segala pertimbangan dan kaitan dengan asal-usul kejadiannya.
Katanya: “Tidakkah huraian dajjal di dalam hadis Rasulullah di atas tadi begitu jelas
sebagai satu penghuraian yang tepat tentang kemajuan teknologi moden hari ini?
1) Ianya bermata satu, iaitu hanya melihat kepada satu aspek kehidupan sahaja iaitu kemajuan / perkembangan material (material progress), ia tidak peduli akan perkembangan rohani (spiritual side).
2) Dengan bantuan mesin / alat-alat ciptaan yang canggih membolehkan manusia melihat dan mendengar tanpa batasan melebihi kemampuan semula jadinya, juga boleh melalui jarak atau sempadan yang tidak terhad dalam masa yang singkat. Ini terbukti dengan ciptaan telefon, kapal terbang, jet, satelit, internet dan sebagainya.
3) Kemajuan sains juga boleh mengadakan hujan tiruan, menumbuhkan tanaman dengan cepat dan mengeluarkan khazanah-khazanah yang tidak disangka dari perut bumi seperti emas, perak, bijih dan minyak dari dasar laut tanpa apa-apa kesukaran.
4) Teknologi perubatan pula boleh menyembuhkan orang sakit tenat yang seolah-olah telah mati, manakala peperangan dengan alat-alat canggih yang dicipta melalui sains moden (contohnya bom nuklear) boleh memusnahkan banyak nyawa manusia dalam masa yang singkat sahaja.
        Kemajuan dan kecanggihan material ini sungguh memukau dan berkuasa sehinggakan orang yang tidak beriman atau lemah imannya akan mempercayai itulah tuhan dalam bentuknya. Inilah yang dikatakan bertuhankan wang, emas dan kehidupan semata-mata untuk mengejar kepuasan nafsu kebendaan dan material. Bukannya menyedari dan menginsafi bahawa kemajuan tamadun (civilization) manusia serta perkembangan teknologi dan sains itu adalah anugerah dari tuhan, tetapi sebaliknya semakin ramai manusia di dalam kejahilan mereka mula memikirkan bahawa itulah akhir halatujunya dan sesuatu yang wajar diburu dan dipuja.
Tetapi mereka yang sedar akan Penciptanya, tujuan kewujudannya di dunia ini, akan bertambah kuat imannya dan sesungguhnya jika mengikut dajjal bererti menafikan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Atas kesedaran erti dajjal inilah juga antara sebab-sebab yang membawanya ramai manusia kepada Islam, Ad-Din yang haqiqi. Bagi yang celik, kehidupan kafir Barat telah menjadi satu dunia kehidupan dajjal yang memukau dan menyesatkan.
Kemajuan ini tidak mampu lagi mengadakan satu keseimbangan di antara keperluan fizikal manusia, kehidupan masyarakat dan keinginan rohaninya. Etika keagamaan tiada lansung kepentingan di dalam kamus hidupnya, bahkan  hanya dikira sebagai satu muzik latar yang menenangkan, boleh untuk menemani tetapi tidak sesekali untuk mempengaruhi kehidupan ‘sebenar’ mereka.
Kehilangan segala pedoman agama, mereka tidak mendapat faedah dari segi moral akan cahaya ilmu pengetahuan yang dicurahkan oleh kemajuan sainsnya yang agung itu.
Ayat al-Quran ini sangat sesuai sekali bagi menghurai keadaan mereka itu:

قال الله تعالى: {مثلهم كمثل الذي استوقد نارا فلما أضاءت ما حوله ذهب الله بنورهم وتركهم في ظلمات لا يبصرون. صم بكم عمي فهم لا يرجعون }. ( البقرة : 17-18)

Ertinya: {Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan membiarkan mereka di dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu, buta, maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar).} [Al-Baqarah: 17-18].
Kerana buta dalam keangkuhan inilah yang meyakinkan mereka bahawa hanya kemajuan tamadun merekalah yang akan membawa cahaya dan kebahagian dalam kehidupan di dunia ini. Mereka menyebarkan slogan materialistik Western way of life”, satu kepercayaan bahawa semua masalah kehidupan manusia di dunia ini boleh diselesaikan dikilang-kilang, makmal-makmal dan dengan perangkaan statistik semata-mata.
Wanita dan Dajjal:
Rasulullah SAW juga memberitahu bahawa di akhir zaman nanti kaum wanita adalah yang paling ramai lari keluar mengikut dajjal.
Rasulullah SAW juga telah bersabda:
“ينزلُ الدجالُ في هذهِ السبخةِ بمرقناةٍ فيكونُ أكثرَ من يخرجُ إليه النساءُ، حتى إن الرجلَ ليرجعَ إلى حميمِه وإلى أمِّه وإلى ابنتِه وأختِه وعمَّتِه فيوثقُها رباطًا مخافةَ أن تخرجَ إليه”
Maksudnya: “Dajjal akan turun dari daerah dataran bergaram yang bernama Marriqanah. Yang paling ramai akan menjadi pengikutnya adalah kaum wanita, sehinggakan seorang lelaki akan bersegera pulang ke rumahnya untuk melihat/menjaga isteri, ibu, anak perempuan, saudara perempuan dan ibu saudaranya, kemudian diikatnya mereka kerana bimbang jika mereka keluar (lalu) bertemu Dajjal dan menjadi pengikutnya.
[HR. Ahmad (7/190) dan disahihkan oleh Ahmad Syakir].
Akhir zaman itu telah tiba sekarang. Ini sekali lagi bertepatan dengan fenomena manusia hari ini, di mana kaum wanita tidak lagi lekat diam di rumah, tetapi turut keluar dari rumah dengan pelbagai tugasan dan tujuan, samada yang harus atau tidak. Tetapi tidak dapat dinafikan keluarnya wanita dari rumah hari ini adalah lebih banyak menjurus kepada kesan negatif daripada yang positif.
Di tengah perpecahan dan keruntuhan dunia Islam sekarang ini, kita dapat menyaksikan betapa banyaknya kekuasaan yang hendak menarik, sekaligus mengeluarkan wanita dari agama dan Syariat Nabinya ke jalan yang amat jauh dari jalan yang diredhai Allah, diantaranya adalah lantangnya suara seruan kepada kebebasan wanita.
          Lalu keluarlah kaum wanita ini yang kononnya disokong oleh mereka yang berfikiran liberal, menuntut dan memperjuangkan sesuatu yang diluar fitrah dan tabie kejadian mereka. Para penyeru kebebasan wanita mutakhir ini, bertambah lantang dan berani, berusaha sedaya upaya menodai kehormatan dan kedudukan para wanita yang telah diangkat oleh Islam.
Semua ini pada umumnya adalah untuk menyeret wanita supaya mempunyai kedudukan yang setaraf dengan kaum lelaki, agar wanita meninggal serta menanggalkan hijab (pakaian dan tudung) muslimahnya, agar wanita bekerja di sektor-sektor pekerjaan yang dulunya khas untuk kaum lelaki, agar wanita berhias secantik mungkin, agar bertambah ayu, seksi, feminin dan menawan  ketika keluar dari rumahnya.
Mereka para pejuang kebebasan wanita ini mahu agar para wanita disamakan dengan kaumlelaki dalam segala bidang kehidupan, baik dalam pendidikan, pekerjaan, ekonomi mahupun dalam pemerintahan.
Sedangkan hak wanita sudah amat sempurna di dalam Islam. Islam memberikan kebebasan kepada wanita dalam bidang pendidikan, perkahwinan, pekerjaan, politik dan kemasyarakatan. Panduan umum al-Quran dan al-Sunnah terhadap kedudukan wanita adalah sama dengan lelaki dari segi kemanusiaannya, iaitu kedua-duanya mempunyai sama hak dan sama kewajipan dalam melaksanakan tugas-tugas agama sebagaimana firman Allah Taala:
Maksudnya: {Wahai manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari satu jiwa.} [Surah al-Nisa’:1].
Hak-hak ini semua tidak terdapat dalam fahaman mereka yang menamakan dirinya “fahaman moden”, yang menyeru ‘Kebebasan Wanita’ itu. (Bahkan sebaliknya) mereka mengatakan bahawa Islam menghilangkan hak-hak wanita dan memenjarakannya di dalam rumah.

Apakah kerana Islam tidak menjadikan wanita sebagai “barangan murah” yang dapat dinikmati oleh setiap pandangan mata dan pemuas nafsu mereka yang rosak moral itu? Inikah kebebasan yang mereka perjuangkan? Dan inikah hak yang mereka tuntut?
Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW:
ما تركت بعدي في الناسِ، فتنةً أضرُّ على الرجالِ من النساءِ
Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki daripada fitnah kaum wanita.” [HR Muslim].
Maka dengan itu dajjal moden telah muncul untuk menguasai nafsu manusia. Manusia sudah mulai melangkah, bertindak sendiri merealisasikan segala tanda-tanda yang disebut oleh Rasulullah SAW itu.
Sekali lagi marilah kita sama-sama berdoa agar dijauhi dan diselamatkan dari fitnah dajjal ini, samada yang nyata iaitu Dajjal yang hakiki atau dalam apa-apa bentuk penjelmaannya sekalipun. Sesunguhnya ia adalah satu fitnah yang amat dahsyat!!! Amin.
Wallahu a’lam. 
Oleh: Ummu Anas Madani, Madinah. 9.99.




Dr Abd Basit - Kelebihan 10 awal Zulhijjah, Puasa Hari Arafah, Korban


KELEBIHAN SEPULUH HARI AWAL BULAN ZULHIJJAH & KORBAN.

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين. وبعد:

Di antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya.
Dr Abd Basit – Kelebihan 10 awal Zulhijjah, Puasa Hari Arafah, Korban









Tuesday, August 6, 2013

Hukum Penggunaan Inhaler, Accuhaler dan Alat Perubatan Lain Ketika Puasa

Hukum Penggunaan Inhaler dan Accuhaler Ketika Puasa.

بسم الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين،

نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد:

Menunaikan ibadat puasa dengan sempurna merupakan perkara asas yang perlu diketahui oleh setiap muslim, menjaga puasa dari perkara yang membatalkannya juga tidak kurang pentingnya, oleh itu perbincangan tentang perkara ini adalah perlu untuk menjaga puasa dari terbatal, dan membatalkan puasa dengan perkara yang sebenarnya tidak membatalkannya akan menyempitkan ruang yang telah diperluaskan oleh Allah swt. Ayat 185 dari Surah Al-Baqarah adalah salah satu ayat yang telah disebut oleh Allah swt tentang keringanan syariat-Nya:

[ يُرِيدُ اللهُ بِكُمُ الْيُسْرَ، وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ ]

{Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.}

Oleh kerana ramai masyarakat yang bertanya tentang hukum penggunaan Inhaler oleh orang yang memerlukannya dan juga beberapa hukum yang berkaiatan dengan kesihatan yang lain, maka kami catatkan di sini beberapa isu tersebut, semoga ianya member manfat untuk menyelesaikan persoalan tersebut.
Perbincangkan isu ini kami pilih dari sebuah buku berjudul: مُفطِرات الصيام المعاصِرة “Mufthirat as-Siyam al-Mu’asirah (Perkara-perkara Semasa Yang Membatalkan Puasa) yang ditulis oleh Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, pensyarah Universiti al-Qasim, Arab Saudi, [Dar Ibnu Jauzi, Arab Saudi, Cetakan Pertama, 1426H/2005M / http://saaid.net/book/open.php?cat=97&book=2020.

Perbincangannya seperti berikut;
Antara Isu-isu baru berkaitan dengan perkara membatalkan puasa.
Perbahasan tentang tajuk ini dapat dibahagikan kepadaa dua bahagian iaitu pertama benda-benda yang masuk ke dalam badan orang yang berpuasa. Ia melibatkan beberapa masalah.
A- BENDA-BENDA YANG MEMASUKI BADAN MELALUI MULUT.
Perbahasan di bawah tajuk ini pula dapat dibahagikan kepadaa beberapa persoalan kecil.
1. Penggunaan Inhaler Mulut.
Inhaler merupakan satu alat yang mengandungi ubat dalam bentuk cecair yang mengandungi tiga jenis bahan iaitu ubat-ubatan, air dan juga oksigen. Cara penggunaannya dilakukan di dalam bentuk mengangkat, kemudian menekannya ke dalam mulut atau hidung. Pada masa itu bahan-bahan yang terkandung di dalamnya akan keluar dan memasuki tekak melalui mulut atau melalui bahagian dalam hidung. Sebahagian daripadanya akan kekal berada di dalam tekak. Kadang-kadang satu kuantiti kecil akan berada di dalam kerongkong.
Pendapat Ulama:
Ulama’ masa kini berselisih pendapat tentang penggunaan inhaler ini kepada dua iaitu:
Pendapat Pertama
Penggunaan inhaler tidak membatalkan mahupun merosakkan puasa. Inilah pendapat As-Syeikh Abd Aziz bin Baaz, As-syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin, As-Syeikh Abdullah bin Jabrin, As-Syeikh Dr. As-siddiq Ad-Darir, Dr. Muhammad Al-Khayyat dan Jawatankuasa Fatwa Tetap Kerajaan Arab Saudi.
Alasan Hukum:
a. Bahan yang terdapat di dalam inhaler yang masuk ke dalam kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit, kerana itu, hukumnya tidak membatalkan puasa, sebagai qiyas kepada berkumur danistinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’).
Satu alat inhaler mengandungi 10 ml cecair, yang mengandungi ubat-ubatan. Kuantiti ini cukup untuk digunakan sebnyak 200 kali semburan. Setiap kali semburan, mengeluarkan jumlah yang rendah, tidak sampai 1ml. Setiap semburan tidak sampai 1 titis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan bahagian yang paling besar memasuki bahagian pernafasan. Satu bahagian memasuki kerongkong, manakala bakinya jatuh ke dalam perut. Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, sebagai qiyas kepada air yang terlekat pada tekak hasil berkumur dan istinsyaq. Malah sisa air yang terlekat pada bahagian tekak lebih banyak daripada kuantiti semburan inhaler yang memasukinya. Dengan ini, jika seseorang berkumur dengan air yang diperkaya dengan bahan-bahan tertentu (seperti mineral atau vitamin, yang hanya boleh dilihat dibawah sinar x), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui tidak berapa lama selepas itu di dalam perut, yang sekaligus membuktikan kewujudan bahan tersebut di dalam perut, tetapi di dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan. Kuantiti sisa air dari berkumur dan istinsyaq tersebut dari segi keyakinannya, sudah tentu melebihi kuantiti semburan inhaler yang memasuki kerongkong, jika diandaikan ia memasuki kerongkong.
b. Semburan yang masuk ke dalam perut, satu perkara yang belum pasti, sebaliknya masih diragui. Mungkin masuk dan mungkin juga tidak. Berdasarkan kepada hukum asal, puasa sah dan tidak rosak. Perkara yang yakin, tidak dapat dihilangkan dengan perkara yang masih ragu-ragu.
c. Ia tidak sama dengan makan dan minum, sebaliknya lebih menyerupai pengambilan darah untuk ujian klinikal dan suntikan yang tidak mengandungi makanan (nutritive).
Perbahasan kepada alasan ini: Walau bagaimanapun alasan ini boleh dipertikaikan, kerana memang wujud kuantiti tertentu air di dalam kandungan ubatan yang terdapat di dalam Inhaler, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
d. Bahan semburan akan keluar dalam bentuk wap dan tidak akan sampai ka dalam perut, sebaliknya hanya ke dalam ruang di dalam paru-paru sahaja.
Perbahasan kepada alasan ini: Walau bagaimanapun sebelum ini, kita telah menjelaskan kuantiti kecil semburan Inhaler juga masuk ke dalam perut.
e. Pakar-pakar perubatan memperakui penggunaan siwak (kayu sugi) mengandungi lapan jenis bahan kimia, yang dapat mengawal gigi dan gusi dari serangan penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu meresap pada lidah dan memasuki tekak, apabila seseorang bersiwak.
Di dalam Sahih Al-Bukhari daripada ‘Amir bin Rabi’ah, katanya: “Saya melihat Rasulullah s.a.w bersiwak, dalam jumlah yang tidak dapat saya hitung, sedangkan Baginda berpuasa.”
Sekiranya bahan-bahan kimia yang memasuki tekak ini dimaafkan, kerana kuantitinya yang sedikit dan tidak disengajakan, begitu jugalah bahan-bahan daripada Inhaler yang memasuki tekak, juga dimaafkan, di atas sebab yang sama.
Perbahasan kepada alasan ini: Mereka yang bersiwak, berkumur dan beristinsyaq tidak berniat untuk memasukkannya ke dalam tekak, jika masukpun secara tidak sengaja. Berbeza dengan penggunaan inhaler yang mmg disembur ke dalam tekak.
Jawapan: Semua itu kembali kepada qasad dan niat, maka mereka yang menggunakan inhaler juga tidak berniat memasukkannya ke dalam rongga dan perut, mereka menggunakannya untuk melegakan pernafasan iaitu ke paru-paru.
Pendapat Kedua:
Golongan ini berpendapat, penggunaan Inhaler membatalkan puasa dan tidak harus digunakan pada siang hari bulan Ramadhan kecuali pada waktu terdesak dan sangat diperlukan oleh pesakit sahaja. Orang yang menggunakan Inhaler pada siang hari bulan Ramadhan hendaklah mengqada’ puasa untuk hari itu.
Inilah pendapat yang dikemukakan oleh Dr. Fadl Hasan Abbas, As-Sheikh Muhammad al-Mukhtar Sulami, Dr. Muhammad Alfai, As-Sheikh Muhammad Taqiuddin Al-Uthmani, dan Prof. Dr. Wahbah Mustafha Az-Zuhaili.
Alasan Hukum:
Bahan-bahan yang terdapat di dalam Inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut. Oleh itu, ianya dianggap membatalkan puasa.
Perbahasan ke atas Alasan: Alasan ini boleh dijawab dengan merujuk kepada alasan pertama yang dikemukakan oleh golongan pertama di atas.
PENDAPAT TERPILIH:
Pendapat yang jelas lagi nyata di dalam kes ini -Allah yang Maha Mengetahui hakikat yang sebenarnya- penggunaan Inhaler tidak membatalkan puasa.
Pandangan golongan pertama yang menyatakan penggunaannya tidak membatalkan puasa, adalah sesuai dan logik. Manakala qiyas mereka kepada berkumur, istinsyaq dan siwak, adalah qiyas yang betul. Wallahu A’lam.
Hukum Inhaler Menggunakan Debu.
Adapun hukum inhaler yang menggunakan debu, para ulama semasa berselisih pendapat agak kuat lebih daripada isu inhaher, memandangkan debu tersebut mungkin terlekat di halkum atau kerongkong.
Menurut Kajian Dr. Khalid bin Abdullah Al-Muslih:
Semua jenis penggunaan inhaler dengan pelbagai jenisnya, termasuk yang menggunakan debu yang disedut melalui mulut atau hidung, semuanya tidak membatalkan puasa menurut pendapat yang rajah (kuat hujjahnya).
Alasan Hukum:
1- Sedutan yang dilakukan pergi ke bahagian pernafasan, bukan pergi ke saluran makanan dan minuman.
2- Kalaupun ada yang termasuk ke saluran makanan ianya adalah terlalu sedikit, tidak lebih pada kebiasaannya debu-debu yang masuk melalui pernafasan
(Fiqh Syafieyyah mengatakan: “Sekiranya lalat atau nyamuk, atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa TIDAK batal. Ini kerana untuk menghindarinya adalah tersangat susah (masyaqqah). Begitu juga dengan menelan air liur.”
3- Debu ubat itu tidak dikira sebagai sejenis makanan dan minuman, atau yang bermakna sejenis makanan.
4- Berpegang dengan hukum Asal, bahawa puasa seseorang itu tidak batal sehingga ada dalil yang menentukan perkara itu batal, Wallahu a’lam.

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH SETIAP MALAM

Unit Kajian Dan Penyelidikan, Bahagian Kajian Dan Penerbitan, Pusat Da’wah Islamiah sedang menjalankan kajian mengenai dengan hadis fadhilat sembahyang Tarawih, kitab Durrah AI-Nashihin (terbitan Mesir tahun 1949), diriwayatkan oleh Ali bin Abu Thalib.
Hadis tersebut sangat popular di kalangan masyarakat di negara ini kerana sejak 10 tahun yang lalu penerbitan-penerbitan buku (risalah) mengenai hadis tersebut telah dijalankan dan hadis-hadis berkenaan juga disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei dalam bentuk promo bagi maksud mentarghib masyarakat supaya mendirikan sembahyang Tarawih dengan teratur.Sepanjang tempoh tersebut, kitani tidak pemah mempersoalkan tentang sanad atau sumber hadis tersebut. Bagaimanapun, Berita Harian (Malaysia) keluaran 31hb. Disember, 1998, Ihb. Januari, 1999 dan 16hb. Januari, 1999 telah mempersoalkan keshahihan hadis tersebut sehingga sampai kepada kesimpulan bahawa hadis tersebut adalah hadis maudh71 ‘.
Sukacita kami menghadapkan isu mengenai hadis ini kepada Pehin bagi mendapatkan fatwa dan ketentuan tentang kedudukan hadis-hadis berkenaan untuk dijadikan pegangan dan menghindari keraguan di kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Jawapan:
الحمد الله الفتاح الوهاب الهادى إلى الحق والصواب، والصلاة والسلام على رسوله سيدنا محمد خاتم الانبياء والمرسلين، وآله وصحبه أجمعين.
Hadis mengenai fadhilat sembahyang Tarawih yang disebutkan dalam kitab Durrah Al- Nashihin bermaksud: “ Daripada Ali Bin Abu Talib Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu alaihi Wasllam telah ditanya tentang keutamaan-keutamaan Tarawih di bulan Ramadhan. Baginda bersabda: “ Orang mukmin keluar daripada dosanya pada:
Malam pertama: Seperti saat dia dilahirkan ibunya
Malam kedua: Dia diampuni, juga kedua orang tuanya, jika keduanya mukmin.
Malam ketiga: Malaikat berseru dari bawah ‘Arasy. Mulailah beramal, semoga Allah mengampuni dosamu yang telah lalu.”
Malam keempat: Dia memperolehi pahala seperti pahala membaca Taurat, Injil, Zabur dan Al-Furqan.
Malam kelima: Allah Ta’ala memberinya pahala seperti pahala orang yang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam keenam: Allah Ta’ala memberinya pahala orang yang bertawaf di Makmur dan dipohonkan ampun oleh setiap batu dan cadas ( lapisan tanah yang keras )
Malam ketujuh: Seolah-olah dia mencapai darjat Nabi Musa ‘Alaihi salam dan kemenangannya atas Firaun dan Haman
Malam kelapan: Allah Ta’ala memberinya apa yang pernah Dia berikan kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam
Malam kesembilan: Seolah-olah dia menyembah Allah Ta’ala sebagaimana ibadat Nabi Shallallahu alaihi wasalam
Malam kesepuluh: Allah Ta’ala mengurniakan kepada nya kebaikan dunia dan akhirat.
Malam kesebelas: Dia keluar dari dunia seperti saat dia dilahirkan dari perut ibunya.
Malam kedua belas: Dia dating pada Hari Kiamat sedang wajahnya bagaikan bulan di malam purnama.
Malam ketiga belas: Dia dating pada Hari Kiamat dalam keadaan aman daripada setiap keburukan
Malam keempat belas: Para malaikat datang seraya memberi kesaksian untuknya, bahawa dia telah melakukan sembahyang Tarawih, maka Allah tidak menghisabnya pada hari Kiamat.
Malam kelima belas: Dia didoakan oleh para malaikat dan para penanggung ‘Arasy dan Kursi
Malam keenam belas: Allah menetapkan baginya kebebasan untuk selamat dari neraka dan kebebasan masuk ke dalam syurga
Malam ketujuh belas: Dia diberi pahala seperti pahala para nabi.
Malam kelapan belas: Malaikat menyeru: “ Wahai Hamba Allah, sesungguhnya allah redha kepadamu dan kepada ibu bapamu.”
Malam kesembilan belas: Allah mengangkat darjat-darjatnya dalam syurga Firdaus.
Malam kedua puluh: Allah memberi pahala para syuhada’ dan shalihin.
Malam kedua puluh satu: Allah membangun untuknya sebuah gedung daripada cahaya
Malam kedua puluh dua: Dia dating pada hari Kiamat dalam keadaan aman daripada setiap kesedihan dan kesusahan.
Malam kedua puluh tiga: Allah membangun untuknya sebuah kota dalam syurga
Malam kedua puluh empat: Dia memperolehi dua puluh empat doa yang dikabulkan
Malam kedua puluh lima: Allah Ta’ala menghapuskan daripadanya azab kubur
Malam kedua puluh enam: Allah mengangkat pahalanya selama empat puluh tahun.
Malam kedua puluh tujuh: Dia dapat melewati Shirath pada Hari Kiamat, bagaikan kilat yang menyambar.
Malam kedua puluh lapan: Allah mengangkat baginya seribu darjat dalam syurga
Malam kedua puluh sembilan: Allah memberi pahala seribu haji yang diterima.
Malam ketiga puluh: Allah berfirman: “ Hai Hambakan makanlah buah-buahan syurga, mandilah daripada air Salsabila dan minumlah dari Kauthar. Akulah Tuhanmu, dan engkau hambaKu.” ( Majalis )
Setelah merujuk kepada kitab-kitab hadis yang muktabar di kalangan ahli Sunnah Wal Jama’ah, termasuk kitab-kitab yang menjadi sandaran dalam pencarian hadis-hadis, sehingga setakat ini tidak dijumpai hadis-hadis yang khusus menyebutkan tentang kelebihan sembahyang Tarawih dengan menyatakan ganjaran yang diperolehi pada setiap malam Ramadhan sepertimana yang dinyatakan.
Apa yang telah ditemui setakat ini, hanyalah riwayat-riwayat yang hampir sama dengannya dan dihubungkan sanadnya kepada sayyidina Ali Bin Abu Talib iaitu tersebut dalamkitab Bihar Al-Majlisi, salah Ramadhan dan kirab Was’a’il Al- Syi’ah karangan Al-Shiekh Muhammad bin Al-Hasan Al-Har Al-‘Amili dalam bab Istihab Al-Shalah Al-Mukhshushah Kulla Lailah min Syahr Ramadhan wa Awwal Yaum Minh.Maka sehubungan itu, oleh kerana hadis yang ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh dii’timad, maka ia mestilah dihentikan daripada dipromokan melalui radio ataupun televisyen.
Sekiranya Pusat Da’wah Islamiah ingin menggalakkan orang ramai supaya rajin dan bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang Tarawih, adalah lebih baik hadis-hadis yang dipromokan itu diambil daripada kitab-kitab yang muktabar.Fadhilat sembahyang Tarawih yang ada disebut dalam hadis-hadis yang terkandung dalam kitab-kitab sunan yang muktabar hanyalah secara umum sahaja tanpa menyebut fadhilat 30 malam Ramadhan itu.
Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada abu Hurairah Radhiallahu a’nhu, sabda Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: “ Sesiapa yang mendirikan sembahyang di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ( pahala daripada Allah ), diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu.”Hadis seumpama inu turut diriwayatkan oleh Muslim, Tirmidzi, abu daud, Imam Ahmad dan lainnya
Negara asal : Brunei darussalam
Negeri : Brunei
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia
Tarikh Diisu : 1999
Nota: Fatwa Mufti Kerajaan 1999
Sumber: infad.usim – Fatwa Brunei – Hadis Palsu
Lihat Juga: http://www.al-ahkam.net/home/hadis-fadhilat-tarawih-tiada-dalam-kitab-muktabar-ahlus-sunnah
Kedua:
KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH
Dikeluarkan oleh: Jabatan Mufti Negeri Terengganu. 
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

Saturday, February 9, 2013

Nas & Hukum Solat Jenazah Di Tanah Perkuburan




Hadis riwayat Abdullah bin Abbas ra.: Bahwa Rasulullah saw. solat jenazah di atas kubur, sesudah mayat dikuburkan. Beliau bertakbir empat kali. (Shahih Muslim No.1586)
Hadis riwayat Abu Hurairah ra : Bahwa seorang berkulit hitam yang biasa membersih masjid, suatu hari Rasulullah saw. merasa kehilangannya (sbb tidak melihatnya). Lalu beliau bertanya kabarnya, para sahabat menjawab: Dia sudah meninggal dunia. Rasulullah saw. menegur: Kenapa kalian tidak memberitahukan kepadaku? Seakan-akan para sahabat menganggap kecil urusannya atau urusan kematian. Kemudian Rasulullah saw. bersabda: Tunjukkan aku kuburnya. Setelah ditunjukkan, beliau solatkan jenazahnya kemudian bersabda: Sungguh pekuburan ini penuh dengan kegelapan bagi para penghuninya dan sesungguhnya Allah meneranginya sebab salatku atas mereka. (Shahih Muslim No.1588)
Kata Prof. Dr. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy di dalam Pedoman Shalat ms 496 :
Para ulama menyukai kita shalat jenazah di perkuburan dengan berdiri di antara kubur-kubur. Begitulah pendapat Imam Atha’ , Asy Syafi’y, Ahmad, Ishaq dan Ibnul Mundzir.
Beliau juga mengatakan:
Pernah hal ini dilakukan oleh Abu Hurairah dan Umar Ibn Abdul Aziz r.a.
Hadis yang di rujuk :
Ibnu Abbas r.a berkata: “ Pada suatu hari Rasullah s.a.w sampai kekubur yang masih basah, maka beliau bersalat baginya dan bersaf-saflah para sahabat di belakang beliau. Rasullah s.a.w. bertakbir 4 kali. ( H.R. Bukhary, Muslim, An-Nail 4:89)
Sa’ied ibn Al-Musayyab berkata: “Bahawasanya Ummu Sa’din meninggal sedang Nabi s.a.w tidak ada di kampung. Manakala kembali, beliau bersalat bagi jenazahnya, padahal telah berlalu sebulan lamanya (H.R At-Turmudzy, An-Nail 4:90)
Syed Sabiq menambah, menurut satu pendapat dari Ahmad, hal ini tidak ada salahnya, kerana Nabi s.a.w. melakukan solat di suatu kubur yang berada di tengah perkuburan.
Dan Abu Hurairah sembahyangkan Aisyah di tanah perkuburan Al Baqi dengan disaksikan oleh Ibnu Umar. Dan Umar Abdul Aziz juga ada melakukannya..
Kesimpulannya solat jenazah ditanah perkuburan adalah amalan Rasulullah saw dan para sahabat ketika tdk sempat solat sebelum jenazah dikebumikan..

Hukum Urusniaga Dengan Syarikat Yahudi


Hukum Urusniaga Dengan Syarikat
Yahudi : Makan, Beli, Jual
(Artikel ini ditulis pada tahun 2007, adapun di ketika Yahudi Israel menyerang Palestin dengan kejam hari ini, tindakan boikot adalah amat wajar dilakukan- uzar pada 9 Jan 09)
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Begitu banyak soalan yang datang kepada saya dan kedengaran di sana sini berkenaan hukum membeli barangan halal yang dikeluarkan oleh syarikat Yahudi khususnya dan bukan Islam umumnya. Ia menjadi satu persoalan yang semakin hangat disebabkan sikap Yahudi yang berterusan menyerang negara umat Islam. Demikian juga Amerika.
Saya ada terbaca kempen dari orang awam dan beberapa ilmuan yang mewarwarkan hukum haram jika membeli barangan dari syarikat yang dimiliki oleh Yahudi sepenuhnya atau salah seorang pemilik syarikat tersebut adalah Yahudi.
Syarikat Yahudi semua haram kita berjual beli?Akibatnya timbul kempen memboikot syarikat-syarikat tertentu dan boikot yang disebarkan melalui email dan internet. Syarikat seperti McDonald, Kentucky Fried Chickhen, TESCO dan lain-lain syarikat yang dikatakan dimiliki oleh Amerika, Yahudi atau mempunyai hubungan dengan mereka secara langsung atau tidak langsung adalah syarikat yang kerap dijadikan bahan utama.
Tidak terkecuali juga beberapa buah syarikat yang dimiliki oleh bukan Islam seperti Maxis dan lain-lain. Saya juga pernah membaca dan mendengar ada yang berusaha menimbulkan semangat berkobar-kobar sehingga berkata bahawa sesiapa yang membeli dan menggunakan khidmat syarikat-syarikat ini maka samalah seperti membantu agama mereka, membunuh umat Islam dan banyak lagi. Adakah ini benar dari sudut pandangan Islam?.
Saya berharap tulisan ringkas saya ini dapat menjelaskan keadaan dan ia adalah berdasarkan pandangan beberapa nas dan pandangan ulama kontemporari. Saya tidak berhasrat untuk menulis panjang dan tulisan ini bukanlah sebuah kajian ilmiah bertaraf univeristi. Ia hanya jawapan yang diringkas dan dipermudahkan bagi bacaan orang awam sahaja. Saya juga tiada sebarang kepentingan dalam semua syarikat yang disebutkan namanya di atas dan yang lainnya, tulisan ini adalah dibuat atas dasar penyebaran ilmu Islam di atas landasan ilmu sahaja.
Asas Hukum
Pertamanya, elok kiranya saya cuba menjelaskan hukum berjual beli dengan orang Yahudi atau dengan mana-mana syarikat yang dimiliki oleh individu Yahudi. Bagi mendapatkan kejelasan dalam isu ini, fakta berikut perlu difahami sebaiknya:-
a) Allah SWT menghalalkan umat Islam memakan sembelihan ahli kitab yang di antara mereka adalah Yahudi. Ini bermakna berurusan dengan Yahudi dan barangan yang dihasilkannya selagi menepati kehendak Allah adalah diharuskan.
b) Allah SWT juga menghalalkan lelaki Islam untuk berkahwin dengan wanita Ahli Kitab yang suci dan baik dengan syarat ia bertujuan kebaikan kepada wanita tersebut. Perihal halal berkahwin dan makan sembelihan ahli Kitab termasuk Yahudi ini disebut dengan jelas dalam ayat berikut : -
الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلُّ لَّهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلاَ مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ
Ertinya : “Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengawini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar maskawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik..” ( Al-Maidah : 5 )
Jika perkahwinan dibenarkan, sudah tentu jual beli lebih lagi akan termasuk dalam kategori dibenarkan oleh Islam (selagi mana menurut syarat jual beli Islam).
c) Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu :-
‏أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ
Ertinya : “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW” ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)
Imam Bukhari menamakan bab yang mengandungi hadith ini dengan nama
بَاب الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ مَعَ الْمُشْرِكِينَ وَأَهْلِ الْحَرْبِ
Ertinya : Bab berjual beli dengan kafir musyrikin dan musuh perang.
Kemudian Imam Ibn Hajar Al-Asqolani pula dalam huraiannya menyatakan :-
واستدل به على جواز بيع السلاح من الكافر
Ertinya : Dan dalil ini dijadikan dalil bagi keharusan MEMBELI senjata dari orang kafir.  ( Fath Al-Bari, Ibn Hajar, 5/142 )
Ini adalah kerana apabila Nabi Muhammad SAW mencagarkan baju besi baginda yang hanya digunakan untuk berperang, ini membuktikan hukum berjual beli dengan bukan Islam termasuk Yahudi adalah harus selagi mana cara aqad dan urusniaganya bertepatan dengan kehendak Islam. Hadis ini boleh dikatakan hujjah terkuat bagi membenarkan umat Islam membeli barangan keperluan dari Yahudi hatta makanan dengan cara berhutang sekalipun.
Ijma ( Sepakat ) Keharusan
Manakala Imam An-Nawawi pula ketika mensyarahkan hadith yang sama menyatakan :-
فيه جواز معاملة أهل الذمة والحكم بثبوت املاكهم على مافي أيديهم …وبه قال الشافعي ومالك وأبو حنيفة وأحمد والعلماء كافة
Ertinya : hadith ini menunjukkan harusnya berurusan dengan ahli Zimmah ( kafir yang bukan tentera yang berperang dengan Islam) dan hukum ini membawa erti sabitnya pemilikan barangan itu oleh mereka…dan demikian ini adalah pandangan Imam As-Syafie, Imam Malik dan Abu Hanifah serta Imam Ahmad dan seluruh ulama” ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40 )
Imam An-Nawawi menyambung :
وأما اشتراء النبي الطعام من اليهودي ورهنه عنده دون الصحابة فقيل فعله بيانا لجواز ذلك وقيل لأنه لم يكن هناك طعام فاضل عن حاجة صاحبه الا عنده وقيل لأن الصحابة لا يأخذون رهنه صلى الله عليه وسلم ولا يقبضون منه الثمن فعدل إلى معاملة اليهودي لئلا يضيق على أحد من أصحابه
Ertinya : Nabi membeli makanan dari Yahudi serta mencagarkan baju besinya dan tidak dilakukan kepada sahabat adalah dikatakan sebagai tanda keharusan melakukan demikian (berurusan dengan Yahudi dan bukan Islam walaupun terdapat orang Islam), sebahagian ulama yang lain pula mengatakan (nabi tidak beli dari sahabat) kerana mereka tiada makanan lebihan untuk dijual kepada nabi, ada juga yang mengatakan para sahabat tidak menerima cagaran Nabi serta tidak mahu menerima sebarang bayaran dari Nabi sehingga menyebabkan Nabi berurusan (kerana tidak mahu menyusahkan sahabatnya) dengan Yahudi agar tidak memberatkan sahabatnya( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40)
وقد أجمع المسلمون على جواز معاملة أهل الذمة وغيرهم من الكفار إذا لم يتحقق تحريم ما معه لكن لا يجوز للمسلم أن يبيع أهل الحرب سلاحا وآلة حرب ولا يستعينون به في اقامة دينهم.
Telah ijma’ atau sepakat seluruh umat islam keharusan urusan dengan ahli zimmah dan lain-lain orang kafir selagi mana (urusniaga itu) tidak jatuh dalam perkara haram. Tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka ” ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40)
Justeru, telah ijma’ berkenaan keharusan membeli dan menjual samada kepada Yahudi, Nasrani (Kristian), Buddha, Hindu dan lain-lain selagi mana mereka tidak terlibat secara langsung (dan rasmi) memerangi Islam, transaksi pula dilakukan bertepatan dengan Islam. Di samping hujah-hujah yang sohih di atas ia juga disokong lagi oleh sebuah hadis dhoif iaitu :-
روى الخلال بإسناده عن عطاء قال نهى رسول الله عن مشاركة اليهودي والنصراني إلا أن يكون البيع والشراء بيد المسلم
Ertinya : Diriwayatkan oleh al-Khallal dengan sanadnya dari Ato’ berkata : Rasulullah SAW melarang dari bermusharakah dengan Yahudi dan nasrani kecuali jika jual belinya ditangan orang Islam ( menuruti Shariah)” ( Al-kafi fi Fiqh al-Hanbali, 2/257 ; Al-Mubdi’ , Ibn Mufleh, 5/4; Ibn Qayyim : Dhoif sanadnya kerana mursal : Ahkam Ahli Zimmah, 1/556 )
d) Para sahabat juga berurusan jual beli dengan orang kafir termasuk Yahudi. Bukan Nabi Muhammad SAW sahaja yang berurusan demikian, malah para sahabat baginda lebih kerap melakukannya dimana mereka juga terbabit dalam jual beli dengan Yahudi, Nasrani, Musyrik dan lain-lain. Sebagai bukti adalah firman Allah :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللّهُ مِن فَضْلِهِ
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberikan kekayaan kepadamu dari karunia-Nya
Ayat ini secara langsung memberikan kefahaman kepada kita bahawa para sahabat Nabi sebelum Allah SWT melarang orang kafir dari memasuki masjidil haram, mereka kerap dan cukup banyak berurusan samada jual atau beli dari si kafir dan yahudi.
Ini disebutkan oleh Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya :-
وكان المسلمون لما منعوا المشركين من الموسم وهم كانوا يجلبون الأطعمة والتجارات , قذف الشيطان في قلوبهم الخوف من الفقر وقالوا : من أين نعيش . فوعدهم الله أن يغنيهم من فضله .
Ertinya : Orang-orang Islam apabila Allah melarang orang Musryik dari masuk (berniaga) pada musim perniagan sedangkan mereka dulu lah yang membawa makanan dan pernigaaan, maka syaitan mulai melontarkan dalam hati umat Islam takut dan bimbang mereka akan jatuh faqir, ( kerana tiada pelanggan dan pembekal), sehingga ada antara mereka berkata : ” Bagaimana kami nak hidup” , tatkala itu Allah SWT menjanjikan kepada mereka kurniaan rezeki dari sisiNya” ( Al-Jami’ Li Ahkami Quran, 8/106 )
Imam Fakhruddin Ar-Razi pula menegaskan :
وحملوا الطعام إلى مكة وكفاهم الله الحاجة إلى مبايعة الكفار
Ertinya : Orang-orang Islam dari Jeddah, Sana’a dan Hunain itu membawa makanan ke Mekah (untuk dijual) dan Allah SWT mencukupkan mereka dengan jual beli dengan orang Kafir” ( Tafsir Al-Kabir, Ar-Razi, 16/22 )  
Hasilnya, jelas bahawa para sahabat juga berurusniaga dengan orang kafir. Nabi SAW juga masih hidup tatkala itu dan membiarkan urusan itu tanpa sebarang larangan dan tegahan. Malah setelah kafir dikeluarkan dari masjidil haram, para sahabat masih berniaga dengan mereka di sebelah luar, bukti terjelas adalah tindakan Nabi SAW sendiri membeli makanan dari Yahudi, Nabi juga wafat dalam keadaan hutangnya belum selesai dengan Yahudi ini. Isu hutang Nabi ini dibincang panjang lebar oleh ulama silam. Saya tidak berhasrat mengulasnya di sini.
Saya kira kumpulan dalil dan huraian ringkas di atas sudah cukup untuk kita mendapat kefahaman hukum berkaitan ursniaga dengan Yahudi, syarikat yang dimiliki Yahudi atau lain-lain agama.
Agenda Boikot bagaimana?
Tidak dinafikan sama sekali bahawa umat Islam perlu melakukan sesuatu jika Yahudi atau lain-lainnya melakukan suatu jenayah dan kebiadapan terhadap Islam. Benar, umat Islam perlu bersatu padu dan bergabung kekuatan bagi memberikan pengajaran kepada mana-mana pihak yang memulakan kejahatan terhadap Islam. Saya juga tidak mahu melemahkan semangat kempen ini, cuma orang ramai perlu tahu antara hukum dan keutamaan. Jangan nanti jika ada di antara kita yang melihat rakan terlibat dengan mana-mana syarikat tadi lalu dituduhnya kafir, munafiq, pembantu Yahudi dan lain-lain.
jahat
 Menurut para ulama kontemporari, cara yang dikira aman di zaman ini adalah dengan melakukan pemboikotan dari membeli barangan semua syarikat di bawah telunjuk mereka. Justeru, ia adalah salah satu cara yang paling berkesan buat orang awam islam di seluruh dunia.
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyatakan bahawa boikot seperti ini adalah bertujuan memberikan tekanan kepada pengusaha dan peniaga yang seangkatan dengan para penyerang agar mereka sendiri mendesak kerajaan mereka kepada keamanan selain mereka akan membenci tindakan kerajaan dan rakan seagama mereka yang melakukan kejahatan terhadap Islam.
Ia juga dijangka dapat memberikan kesan ekonomi yang buruk kepada negara mereka sekaligus membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan kejahatan dan serangan terhadap Islam.
Walaubagaimanapun, adakah perlu kita menjadikan seluruh Yahudi di seluruh dunia tanpa mengira mereka membantu serangan atau tidak secara umum?. Atau bagaimana?
Menurut pendapat spontan saya, kita perlu membezakan di antara hukum dan keutamaan (afdhaliyah). Secara mudahnya, hukum berurusan dengan mereka sentaisa halal selagi mereka tidak terlibat secara langsung dengan peperangan, cuma yang afdhalnya tidak berurusan tatkala Islam sedang diserang oleh bangsa mereka. Bagi memahami hal ini, perkara berikut perlu dilihat :-
1) Hukum asal urusniaga dengan Non-Muslim termasuk Yahudi dan semua syarikatnya adalah halal selagi transaksi yang dibuat menrut syarat jual beli Islam.
2) Kewujudan syarikat-syarikat ini di negara Yahudi dan MoU perniagaannya di negara Yahudi tidak boleh dianggap sebagai membantu kerja keganasan Yahudi. Justeru, sebarang pembuktian seperti ini tidak kuat untuk mensabitkan bantuan ‘direct’ kepada kerja jahat Yahudi atau lainnya.
3) Hukum asal ini hanya akan bertukar kepada haram berurusniaga atau wajib memboikot mereka jika :-
a- Pemerintah Islam tertinggi iaitu Khalifah bagi seluruh dunia Islam mengarahkan boikot demi mencapai maslahat tertentu untuk Islam. Ia adalah kerana Allah SWT memerintahkan umat Islam agar mentaati pemerintah dalam hal ehwal yang tidak bercanggah dengan Islam. Peirntah ini tercatat di dalam Al-Quran. Hal ini dapat dilihat dalam tindakan Khalifah Umar al-Khattab yang mengarahkan seorang sahabat agar menceraikan isterinya dari kalangan Ahli Kitab dari negara Rome atas dasar ‘maslahat’ iaitu untuk menjaga kepentingan wanita Muslimat di ketika itu. Tatkala itu, perkara harus tadi sudah menjadi larangan sementara waktu disebabkan arahan pimpinan Islam (Nizam Al-Usrah Fil Islam, Dr Uqlah)
Malangnya di ketika tiadanya seorang khalifah yang bertanggung jawab bagi seluruh umat islam, adalah sukar untuk menggunakan peruntukan kewajiban ini. Sekadar fatwa ulama besar seperti Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi masih tidak mampu menjadikan hukum boikot sebagai wajib buat setiap individu umat Islam. Ia masih berada dalam lingkungan ‘afdhal’ atau ’elok’ sahaja dan tidak wajib untuk boikot dan tidak haram untuk terus berurusniaga.
Tiada Khalifah Islam
Di waktu tiadanya khalifah tertinggi Islam, menurut Prof. Dr Syeikh Muhammad ‘Uqlah El-Ibrahim (Prof Fiqh di Jordan), tugas ‘ulil amri’ itu jatuh kepada kerajaan umat Islam di negara masing-masing. Jika demikian, Sultan, Perdana Menteri atau JAKIM adalah wakil urusan tersebut di Malaysia, maka sekiranya ada di antara pihak ini menyatakan keperluan boikot secara rasmi, tatkala itu adalah wajib ke atas setiap individu umat Islam di malaysia untuk memboikotnya. Jika tidak, adalah sukar didapati sebarang nas yang khusus lagi tepat cara pendalilannya bagi menjatuhkan hukuman wajib ke atas setiap umat Islam secara individu.
Justeru, di ketika tiadanya arahan rasmi dari kepimpinan sesebuah negara umat Islam, tindakan melakukan boikot tersebut adalah tergolong dari tindakan yang ‘digalakkan’ sahaja serta mendapat pahala sudah tentu bagi sesiapa yang melakukannya dengan niat yang betul. Iaitu mengutamakan barangan buatan umat Islam dan peniaga Islam disamping ‘mendenda’ syarikat milik Yahudi. Bagaimanapun, dari sudut hukum adalah tidak haram makan di McDonald, KFC dan membeli barangan harian dari mana-mana kedai dan pasaraya milik bukan Islam selagi mana barangan itu mempunyai tanda ‘Halal’ JAKIM dan yang diiktiraf serta belum tamat tempohya.
Dalil keutamaan ini antaranya adalah :-
جَاهِدُوا الْمُشْرِكِينَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُم
Ertinya : “Berjihadlah kamu menentang orang musryikin itu dengan harta kamu, dan diri kamu serta lidah kamu” ( Riwayat Abu Daud, no 2504, 3/10 ; Albani : Sohih  )
Perbezaan & Perkembangan Baru
Cuma, di zaman kewujudan jemaah-jemaah Islam yang pelbagai di dalam negara Malaysia, pada hemat saya, sekiranya anda seorang yang komit dan telah memberikan satu ‘bai’ah’ atau janji setia dengan kepimpinan persatuan anda seperti ABIM, JIM, PAS, TABLIGH, HIZB TAHRIR, PPIM atau lainnya, dan mereka mewajibkan ahli mereka agar boikot. Tatkala itu mungkin boleh diperbincangkan hukumnya samada telah menjadi wajib ke atas ahli mereka atau tidak. Saya tidak berhasrat untuk membincangkannya di sini kerana ia akan memanjangkan tulisan ini. Mungkin ia lebih elok ditulis oleh tokoh-tokoh pimpinan persatuan dan jemaah tadi sendiri.
b- Syarikat tersebut mendedahkan secara terus terang dengan hebahan rasmi bahawa mereka memperuntukkan keuntungan mereka bagi menyokong serangan Yahudi ke atas negara umat Islam.
Ia seperti yang dilakukan oleh Starbuck dan lain-lain. Dan pendedahan ini mestilah jelas dan bukannya khabar angin tanpa hitam putih. Tatkala itu ia sudah termasuk alam hukum menjual senjata kepada tentera musuh yang menyerang Islam yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitab al-Majmu sebagai haram secara sepakat ulama.
contoh
Syarat Sebelum Sebaran
Perlu diingat, selagi tiada edaran khusus, specifik dan rasmi oleh syarikat terbabit yang menyatakan mereka menyokong dan membantu serangan atas nama syarikat, selagi itu hukum asal iaitu harus berurusniaga dengan syarikat itu akan tetap terpakai.
Sekadar salah seorang pemegang saham bertindak sendirian membantu pembinaan kuil, atau membantu serangan oleh Yahudi juga belum cukup kuat untuk mengubah hukum harus tadi kepada haram. Ini kerana ia adalah tindakan peribadi salah seorang pemegang saham sahaja dan bukannya polisi sebuah syarikat itu.
Jika sekadar maklumat tidak rasmi dan khabar angin sahaja yang menyebut kaitan syarikat dengan gerakan ganas Yahudi. Tatkala itu, kaedah fiqh ini masih terpakai :-
أن اليقين لا يزال بالشك
Ertinya : Keyakinan tidak akan diketepikan hanya kerana suatu syak ( iaitu tidakpasti kebenarannya) ( Al-Majmu, Al-Nawawi, 1/266 )
Perlu difahami hukum asal harus berurusniaga dan membeli dari bukan Islam dan Yahudi adalah termasuk dalam bab yakin, ia tidak akan tergugat hanya dengan khabar-khabar angin penglibatan mereka dalam aktiviti serangan ke atas Islam. Keyakinan asal tadi hanya akan berubah bila dua sebab yang disebut di atas muncul. Wallahu’alam.
Kesimpulan umum :
Harus jual beli, guna khidmat dan makan di McDonald, KFC, TESCO, JUSCO, MAXIS, INTEL dan lain-lain produk walauapun berasal dari Yahudi atau Non-Muslim selagi mana : -
a) produk mereka disahkan bersih dan halal oleh JAKIM ( jika di Malaysia)  serta tempoh lesen masih hidup,
b) cara transaksi dan urusniaga yang dibuat adalah bertepatan dengan Islam,
c) tiada sebarang perintah oleh kerajaan yang berwajib untuk memboikot mereka bagi mencapai sesuatu maslahat kebaikan untuk Islam,
d) tiada sebarang bukti secara bertulis dan penghebahan rasmi syarikat bahawa mereka membantu dan menyumbang khas kepada serangan ke atas Islam, yang mana ia dibuat atas nama syarikat dan bukan salah seorang individu dalam syarikat sahaja.
Walaubagaimanapun, mendapat pahala bagi sesiapa yang melakukan boikot terhadap mana-mana barangan atau syarikat didasari oleh keyakinannya terhadap hasil kajiannya sendiri yang mendapati penglibatan yang tidak sihat tadi itu ada pada syarikat atau mana-mana pengeluar barangan. Tatkala itu, boikot adalah wajib ke atas dirinya sahaja dan digalakkan bagi sesiapa yang yakin dengan info yang dikeluarkannya.
Digalakkan juga umat Islam mengutamakan sayarikat Islam dan barangan keluaran Islam bagi membantu peningkatan ekonomi umat Islam. Ia juga adalah salah satu fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Saudi. Wallahu’alam.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
29 Rejab 1428 H ( 13 Ogos 2007 )